top of page

Inovasi Karbon Biru UMS Raih Anugerah Di Borneo Festival of Ideas 2026

nabalunews
4 hours ago
3 min read


20 Oktober 2026


KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih pencapaian cemerlang dalam penyelidikan apabila hasil inovasinya yang berteraskan teknologi pemantauan ekosistem marin dan karbon biru dinobatkan sebagai penerima Anugerah Best of The Best bagi Pertandingan Reka Cipta (PEREKA) bersempena kemuncak Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026.

Projek bertajuk “Precision Blue Carbon Module: Drone Intelligence for High-Resolution Seagrass Habitat Monitoring” hasil penyelidikan pensyarah Institut Marin Borneo UMS, Ts. Gs. Dr. Chong Wei Sheng itu memanfaatkan penggunaan teknologi dron pintar untuk memantau habitat rumput laut dengan lebih terperinci.

Inovasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemantauan ekosistem rumput laut yang berperanan penting dalam menyerap dan menyimpan karbon biru, selain menyokong pemuliharaan biodiversiti marin serta kelestarian sumber laut.

Pencapaian itu sekali gus membuktikan potensi penyelidik UMS dalam menghasilkan inovasi berteknologi tinggi bagi menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam meneroka potensi Ekonomi Biru sebagai pertumbuhan negeri.

Kejayaan inovasi karbon biru UMS itu turut memperkukuh aspirasi universiti sebagai “The Brain of Borneo”, khususnya dalam menerajui penyelesaian teknologi yang menyokong kelestarian sumber marin.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan ketika mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyempurnakan perasmian penutupan festival tersebut berkata, Sabah dan Borneo mempunyai kedudukan yang amat signifikan terhadap usaha memperkukuh agenda inovasi negara.

Katanya, rantau ini bukan sahaja dikurniakan kekayaan sumber alam dan biodiversiti yang luar biasa, malah memiliki kepelbagaian budaya, pengetahuan tempatan serta kekuatan komuniti yang menjadi sumber inspirasi kepada penerokaan ilmu dan penciptaan inovasi baharu.

“Keunikan geografi dan sosioekonomi Sabah membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan setempat, misalnya cabaran berkaitan keterhubungan kawasan luar bandar, akses kepada perkhidmatan asas, keterjaminan makanan dan pengurusan sumber alam.

“Cabaran sedemikian seharusnya dilihat bukan hanya sebagai kekangan pembangunan, tetapi sebagai peluang untuk mencipta penyelesaian yang lebih mampan dan inklusif.

“Dalam konteks ini, penganjuran BFOI amat bertepatan dalam menyediakan ruang untuk mengetengahkan kreativiti, berkongsi pengetahuan dan mempersembahkan penyelesaian yang lahir daripada pemerhatian serta pengalaman sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin, yang menjalankan fungsi Naib Canselor dalam ucapan aluannya menekankan BFOI sebagai manifestasi jelas komitmen UMS bersama dengan pelbagai agensi kerajaan dalam membawa budaya inovasi keluar dari kepompong kampus dan mendekatkannya kepada warga komuniti.

“Jadikanlah pengalaman BFOI sebagai satu batu loncatan untuk terus mengembangkan potensi inovasi dan produk ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ini termasuk meneroka peluang pendanaan, kolaborasi bagi memberi manfaat kepada masyarakat, dan pembangunan ekonomi dalam rantau Borneo,” ujar beliau.

Bertemakan “Cetus Idea, Cipta Masa Depan”, BFOI 2026 anjuran UMS bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan rakan strategik Kerajaan Negeri Sabah, serta mendapat sokongan daripada pelbagai pihak industri berjaya membuktikan peranan universiti sebagai pemangkin ekosistem inovasi yang menghubungkan penyelidikan, industri dan komuniti.

Festival berkenaan turut mencatatkan lebih 850 penyertaan inovasi sepanjang pelaksanaannya di lima zon daerah seluruh Sabah di antara Jun sehingga Ogos 2026, manakala peringkat Grand Finale berjaya menghimpunkan hampir 600 penyertaan serta menarik kehadiran lebih 1,500 pengunjung.

Kemuncak BFOI 2026 menyaksikan penyampaian sebanyak 44 anugerah khas berserta hadiah wang tunai kepada peserta cemerlang menerusi lima pertandingan utama, termasuk PEREKA, Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo, Borneo Solid Waste Management Innovation Challenge, STEAMQuest Ignite dan Cabaran Geran Mikro Pengkomersialan.

Hadir sama pada majlis tersebut Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Ketua Pusat Pengurusan Projek IDS, Victor Sikain; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Moira David; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Johnny Samson; dan Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS merangkap Pengerusi BFOI 2026, Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page