top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid: 405 Kes baharu di Sabah, terendah sejak beberapa bulan



7 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini adalah yang terendah sejak beberapa bulan lalu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.


Beliau berkata, jumlah kes terbaru ialah 405 kes, menurun 164 kes berbanding kelmarin dan hanya dua kes kematian dilaporkan masing-masing di Beaufort dan Kota Marudu.


“Secara keseluruhannya, sebanyak 11 daerah di negeri ini mencatat kes baharu kurang daripada 10 kes termasuk tiga daerah iaitu Kunak, Tongod dan Kalabakan yang tidak ada kes jangkitan baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, kesan positif pengambilan vaksin yang lengkap dapat dilihat melalui statistik harian pesakit-pesakit baharu yang dijangkiti virus Covid-19.


“Daripada 405 kes hari ini, 387 orang atau 96 peratus adalah pesakit-pesakit Kategori 1 dan Kategori 2 (tidak ada gejala atau sekadar gejala ringan), tidak ada pesakit dalam Kategori 3 dan hanya seorang pesakit dalam Kategori 4 dan begitu juga bagi Kategori 5,” katanya.


Beliau berkata, seluruh daerah di negeri ini mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 229 kes daripada Saringan Kontak Rapat.


“Ini dapat disimpulkan bahawa masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan,” katanya.


Beiau berkata, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 537 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 210,551 orang.


Manakala 1,789 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 728 orang di hospital, 1,049 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 12 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 83 merangkumi 77 di ICU/repurposed kritikal care serta enam di open ward (HDW/kubikel akut) dan 24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.


bottom of page