top of page
  • Wartawan Nabalu News

Cuaca buruk bakal landa Sabah, Sarawak bermula Khamis ini


11 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perairan barat Sabah dan utara Sarawak bakal dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang selama tiga hari bermula Khamis ini akibat satu sistem tekanan rendah yang dijangka terbentuk di barat Filipina.


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan, berkata sistem tekanan rendah itu dijangka bergerak ke arah barat laut menuju ke selatan China.


"Keadaan ini dijangka menyebabkan peningkatan kelajuan dan penumpuan angin baratan di perairan berkenaan dalam tempoh 13 hingga 15 Julai.


"Ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di kawasan berkenaan dalam tempoh tersebut," katanya.


MetMalaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan yang akan berkuat kuasa pada 15 sehingga 18 Julai ini.


MetMalaysia menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial agensi itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Comments


bottom of page