- nabalunews
Cubaan menyeludup petrol ditumpaskan Maritim Malaysia di Lahad Datu
22 Ogos 2024
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot pam yang disyaki digunakan untuk menyeludup petrol ke negara jiran, awal pagi tadi.
Bot itu didapati membawa 35 tong kosong dengan anggaran setiap tong berisipadu 20 liter disyaki untuk diisi minyak petrol bagi tujuan untuk diseludup keluar dari negara ini.
Juragan bot bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke pesisir pantai setelah menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata pihaknya berjaya mengesan bot pam terbabit hasil maklumat awam di perairan kira-kira 0.5 batu nautika Timur Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu Sabah awal 12.10 tengah malam tadi.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 35 tong gelen kosong anggaran setiap tong isipadu 20 liter disyaki untuk mengisi dan menyeludup minyak petrol bagi tujuan dibawa ke luar dari negara ini.
"Bot itu seterusnya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut dirampas 35 tong gelen kosong, wang tunai, sebuah bot pam dan dua buah enjin pam dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,000.
Comments