top of page
  • Wartawan Nabalu News

CUEPACS cadang kenaikan pencen pesara kerajaan diteruskan


6 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberi cadangan kepada kerajaan untuk meneruskan kenaikan pencen pesara kerajaan sebanyak dua peratus setiap tahun sehingga pelarasan gaji baharu penjawat awam dilaksanakan.


Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat berkata, kenaikan pencen itu tidak sepatutnya ditarik balik tanpa menggantikannya dengan kemudahan yang lebih baik bagi pesara kerajaan.


Beliau berkata, kenaikan pencen itu telah terbatal dengan sendirinya selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen baru-baru ini.


"Tidak wajar setiap kemudahan yang dinikmati oleh pesara ditarik semula tanpa digantikan dengan suatu kemudahan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan.


Beliau juga memohon kerajaan agar tidak menuntut atau mengambil semula pembayaran kenaikan dua peratus itu yang telah dibuat sejak 2013 kerana ia telah dinikmati oleh pesara dan jumlah itu tidaklah terlalu besar untuk mereka yang kebanyakannya tergolong dalam kumpulan M40 dan B40.


Tambah beliau, CUEPACS berharap kerajaan menyegerakan pelarasan gaji penjawat awam yang secara tidak langsung akan turut memberi manfaat kepada pesara kerajaan ketika ini, memandangkan semakan terhadap gaji sektor awam telah lama tidak dilakukan.


"Berdasarkan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan, ini akan menyebabkan pesara kerajaan tidak akan menerima manfaat selagi mana semakan gaji sektor awam tidak dilakukan. Kerajaan perlu serius dalam hal ini bagi memastikan kebajikan warga penjawat awam dan pesara kerajaan tidak diabaikan," katanya.


Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

bottom of page