Cukai petroleum RM1.25 billion, bagaimana kerajaan GRS belanjakan?Cukai petroleum RM1.25 billion, bagaimana kerajaan GRS belanjakan?
top of page
  • Writer's pictureMaxolvin Sintore Gabu

Cukai petroleum RM1.25 billion, bagaimana kerajaan GRS belanjakan?


10 Okt 2021

Oleh Maxolvin Sintore Gabu


Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sabah baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengemukakan soalan mengenai pendapatan hasil cukai Petroleum kepada Menteri Kewangan (Ketua Menteri Sabah).


Berdasarkan jawapan yang diterima, Kerajaan Sabah telah mendapat sebanyak RM1.251 billion atau RM1,251,000,000. Ini merupakan satu pendapatan baru buat Sabah setelah soal cukai petroleum ini dibincangkan semasa pemerintahan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan kerajaan PH-Warisan-UPKO di Sabah.


Rakyat Sabah tentunya ingin mengetahui bagaimanakah kerajaan GRS menggunakan RM1.251 billion ini kerana ini merupakan satu jumlah yang besar dan harus digunakan sebaiknya supaya sampai kepada rakyat.


Kerajaan GRS pimpinan BERSATU yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi ini boleh mengambil peluang untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap pimpinan negeri ini dengan menjadi transparent atau telus dalam mengurus tadbir kewangan negeri Sabah.


Bagi saya, tidak salah bagi kerajaan GRS memberikan peruntukan yang lebih kepada setiap ADUN di Sabah tanpa melihat latar belakang politik. Pada hari ini, setiap ADUN kerajaan diberi peruntukan sebanyak RM1 juta untuk tujuan pembangunan dan RM100,000 kepada ADUN pembangkang bagi tujuan yang sama.


Jumlah ini adalah sangat terhad dan tidak mencukupi untuk membuat pembangunan di setiap kawasan DUN apa lagi DUN yang mempunyai kawasan yang luas dan geografi yang pelbagai seperti Kadamaian, Nabawan, Sebatik, Sukau dan Sindumin malah banyak lagi.


Mengambil contoh di Sarawak, Ketua Menteri Sarawak memberi peruntukan sebanyak RM5 juta kepada setiap ADUN di Sarawak bagi memacu pembangunan infrastruktur kawasan masing-masing.


Sekiranya Kerajaan GRS pimpinan BERSATU memberi RM3 juta kepada kesemua 73 ADUN di Sabah, ianya hanya berjumlah RM219 juta yang mana hanya 17.5 peratus daripada hasil cukai petroleum tersebut dan ini secara langsung memberi manafaat kepada setiap DUN di Sabah.


Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu ini, Kerajaan GRS pimpinan BERSATU juga harus mengelak daripada membuat keputusan yang tidak menguntungkan rakyat seperti membuat projek “gajah putih”.


Sebagai contoh, pembinaan Terminal Bas KK Plaza yang menelan belanja berjuta ringgit sama sekali tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat walaupun telah siap sepenuhnya beberapa tahun lalu. Satu lagi contoh adalah pembinaan tangka air di Pekan Tenghilan, yang begitu gah terletak di tepi jalan raya utama Kota Kinabalu – Kota Belud tapi hakikatnya tangki air itu tidak berfungsi dan rakyat di Kawasan Tenghilan masih mengalami masalah air setiap minggu.


Kerajaan GRS harus memfokuskan untuk melaksanakan pembangunan berimpak tinggi kepada rakyat. Antara masalah yang masih kritikal pada hari ini adalah masalah bekalan air bersih, bukan hanya di kawasan luar bandar malah di Kawasan bandar, masalah capaian internet, masalah miskin tegar, masalah dadah dikalangan belia dan masalah pembangunan luar bandar.


Semoga hasil cukai petroleum ini dapat digunapakai sebaiknya untuk rakyat dan bukan untuk para kontraktor yang siang malam menjadi bayang-bayang VIP demi untuk melobi projek.


Maxolvin Sintore

GEM UPKO Malaysia

bottom of page