top of page

Curi Kabel: Dua Warga Asing Ditahan

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 1 min read

ree

11 Disember 2025


KENINGAU: Cubaan dua lelaki warga asing mencuri kabel milik TM gagal selepas berjaya dikesan kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di kawasan tepi jalan Kampung Bakiau, Jalan Tenom, di sini, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kedua-dua warga asing berusia 25 dan 35 tahun itu dikatakan leka di dalam lubang tersebut sehingga tidak menyedari kehadiran pihak polis.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek baru saja mengumpil penutup lubang laluan kabel bawah tanah TM di tepi jalan tersebut.


Malah katanya, ketika ditahan, kedua-dua suspek mengaku masuk ke dalam lubang berkenaan untuk tujuan mencuri kabel yang ada di dalam lubang tersebut.


“Anggota peronda kemudian menahan kedua-dua suspek dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan lanjut.


“Semasa tangkapan dibuat, tiada sebarang barang rampasan dilakukan kerana kedua-dua suspek belum sempat mencuri kabel bawah tanah tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, kedua-dua suspek juga mengakui tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah tinggal di negara ini.


Sehubungan itu, Yampil berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan khianat dengan mencederakan atau merosakkan kabel atau peralatan telekomunikasi.


Katanya, permohonan reman akan dibuat untuk membantu siasatan lanjut termasuk diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page