top of page

Dakwaan wujud kartel dalam industri padi dan beras tidak berasas – Arthur

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

ree

4 September 2025


KUALA LUMPUR: Dakwaan wujud penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar dalam industri padi dan beras yang berpotensi membentuk struktur seperti kartel adalah tidak berasas.


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ia berdasarkan hasil kajian am ke atas industri padi dan beras yang dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada 2024.


“Hasil kajian tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada 17 Disember 2024.


“Berdasarkan kajian, MyCC tidak menemui sebarang amalan anti persaingan atau apa-apa isu yang bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta Persaingan 2010,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.


Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris sama ada dapatan kajian MyCC yang menyimpulkan tiada pelanggaran undang-undang persaingan turut mengambil kira kemungkinan wujudnya penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar dalam industri beras yang berpotensi membentuk struktur seperti kartel serta apakah tindakan susulan yang dirancang.


Arthur berkata, kementeriannya sedang melaksanakan reformasi menyeluruh industri padi dan beras secara berfasa sejak Oktober 2024, bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.


"Antara agenda utama di bawah reformasi industri padi dan beras adalah menilai semula kerangka perundangan sedia ada supaya kekal relevan dan berkesan dalam mengawal selia industri ini.


"Penilaian ini penting sebagai respons terhadap pelbagai isu yang membelenggu industri sejak kebelakangan ini, termasuk ketidakseimbangan ekosistem, dakwaan manipulasi bekalan melalui aktiviti percampuran beras dan lain-lain," ujarnya.


Selain itu katanya, dapatan serta syor MyCC turut diambil kira demi mewujudkan persekitaran adil sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras, dan diharapkan segala usaha itu mendapat sokongan semua pihak untuk kebaikan serta masa depan industri negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page