top of page

Dana TEKUN dinaikkan kepada RM500 juta tahun depan

  • nabalunews
  • 8 minutes ago
  • 1 min read

ree

19 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meningkatkan dana pembiayaan Bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional daripada RM300 juta tahun ini kepada RM500 juta pada 2026.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, langkah berkenaan selaras dengan dasar pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi secara inklusif merentas kaum.


"Pembiayaan untuk usahawan India melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) turut dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta pada 2026.


“Selain itu, satu skim pembiayaan baharu untuk PMKS masyarakat Cina berjumlah RM50 juta akan dilancarkan pada Januari 2026,” katanya memetik Sinar Harian.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi mendengar taklimat pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sempena hari pertama beliau memulakan tugas menerajui kementerian berkenaan, di Putrajaya pada Khamis.


Dalam pada itu, menurut Steven, moratorium bayaran balik selama enam bulan tanpa faedah akan diberikan kepada PMKS dan koperasi yang terjejas akibat banjir, melibatkan pinjaman daripada tujuh agensi di bawah KUSKOP.


Katanya, agensi terbabit ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad dan Amanah Ikhtiar Malaysia.


Steven turut memaklumkan bahawa KUSKOP menerima mandat khusus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan pertumbuhan ekonomi rakyat melalui pemerkasaan PMKS dan gerakan koperasi.


Sehubungan itu, beliau menggariskan strategi tumpuan kementerian berdasarkan kerangka ABCD, iaitu Anjakan produktiviti, Birokrasi dipermudah, Capaian modal dan Daya akses pasaran.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page