top of page

Dari kampung ke kampung, Ewon adakan Jelajah Sabah First

  • nabalunews
  • 3 minutes ago
  • 2 min read
Jelajah Sabah First di Melalap.
Jelajah Sabah First di Melalap.

20 November 2025


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, meneruskan kempen pilihan raya dengan mengadakan siri Jelajah Sabah First dari kampung ke kampung merentasi pelbagai daerah di kesemua kawasan calon parti itu bertanding pada pilihan raya ini.


Calon N.11 Kadamaian itu berkata, jelajah itu bertujuan menyemarakkan semangat “Sabah First” iaitu perjungan parti tempatan yang mendahulukan hak-hak rakyat Sabah dan agenda pembangunan rakyat.


“Pilihan raya ini bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi memilih pemimpin yang benar-benar memahami aspirasi dan impian rakyat berlandaskan prinsip Sabah First.


“Ini masa kita memilih pemimpin yang memahami wawasan rakyat Sabah. Banyak parti yang bertanding tetapi pilihlah parti-parti tempatan yang berprinsip dan benar-benar memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1964 (MA63) terutamanya tuntutan 40 peratus Sabah,” katanya.

Jelajah Sabah First di Kuamut.
Jelajah Sabah First di Kuamut.

Ewon turut memberikan penerangan mengenai tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah daripada Kerajaan Persekutuan, yang menjadi antara isu utama dalam kempen UPKO.


Beliau memulakan jelajah pada 16 November di Membakut, Limbahau, Petagas dan Tanjung Keramat, sebelum meneruskan perjalanan ke Melalap, Bingkor, Liawan, Tulid dan Nabawan pada 17 November.


Pada 18 November, beliau meneruskan program di Kuamut, Telupid dan Labuk, sementara pada 19 November beliau meneruskan jelajah Sabah First ke Bengkoka, Tandek dan Bandau.


Jelajah akan diteruskan di Kiulu, Tamparuli, Inanam pada 21 November dan Kapayan. Seterusnya di Gum Gum Sandakan yang dijadualkan pada 25 November ini.

Jelajah Sabah First di Telupid.
Jelajah Sabah First di Telupid.

Ewon berkata, beliau memilih menggunakan kenderaan darat sepanjang siri jelajah itu untuk memberi peluang kepadanya menilai sendiri keadaan infrastruktur serta merasai sendiri kesusahan penduduk luar bandar.


“Ada yang memilih kempen menggunakan helikopter, tetapi saya memilih untuk menaiki kereta. Apabila melalui jalan jauh dan berlubang-lubang, baharu kita benar-benar memahami kesusahan rakyat,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmennya untuk membimbing kesemua calon UPKO agar menjadi wakil rakyat yang berintegriti dan tidak menyimpang daripada perjuangan parti.


“Saya akan memimpin kesemua calon UPKO untuk memastikan mereka menjadi wakil rakyat terbaik, yang bertanggungjawab dan teguh pada perjuangan rakyat,” katanya.


Beliau berkata maruah Sabah perlu ditegakkan melalui pemerintahan yang diterajui parti tempatan bagi memastikan kepentingan dan hak-hak Sabah terus diperjuangkan.

Jelajah Sabah First di Bandau.
Jelajah Sabah First di Bandau.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), UPKO akan bertanding di 25 kerusi dengan menampilkan gabungan calon muka baru dan lama, termasuk lima calon wanita yang mewakili kepimpinan baharu dalam parti itu.


Lima calon wanita itu ialah Suzie Salapan ( N06 Bandau), Rowindy Lawrence Odong (N31 Membakut), Georgina L George (N37 Karanaan), Norfadzlina Ramsah (N49 Labuk) dan Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom (N57 Kuamut).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page