top of page

Dart Terbuka Ranau Sempena Hari Malaysia 2025 Tawar Hadiah Lebih RM8,000

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

ree

8 September 2025


RANAU: Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2025, satu Kejohanan Dart Terbuka akan dianjurkan pada 27 dan 28 September ini bertempat di Kampung Lasing, Ranau. Acara tersebut merupakan anjuran Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau dengan kerjasama Persatuan Masyarakat Prihatin Ranau.


Ketua Pemuda UPKO Ranau, Leester Dalimon, dalam kenyataannya menjelaskan bahawa kejohanan ini bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat serta menjadi platform bermanfaat untuk para peminat sukan dart.


Beliau menegaskan, selain mengasah bakat dan meningkatkan minat terhadap sukan tersebut, kejohanan ini juga berfungsi sebagai medium untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta dari Ranau mahupun luar daerah.


Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah lebih RM8,000. Bagi kategori lelaki berpasukan terbuka, pasukan juara akan menerima RM3,000, naib juara RM1,500, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang RM700. Pasukan yang menamatkan saingan di tempat kelima hingga kelapan turut menerima saguhati sebanyak RM250 setiap satu.


Sementara itu, kategori perseorangan wanita terbuka menawarkan hadiah wang tunai RM800 untuk juara, RM400 bagi tempat kedua, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing akan menerima RM180. Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM250 bagi kategori lelaki berpasukan dan RM80 untuk kategori wanita perseorangan.


Sebagai nilai tambah, seorang pempengaruh media sosial, Jue Tinagas, turut dijemput bagi memeriahkan acara serta menarik minat lebih ramai pengunjung untuk hadir memberikan sokongan.


Kejohanan ini akan diadakan di perkarangan kediaman Ketua Bahagian UPKO Ranau, Georgina George, di Kampung Lasing, Ranau. Pihak penganjur menjangkakan sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat serta penggiat sukan dart dari luar daerah.


Penganjuran kejohanan ini dilihat selaras dengan usaha memperkukuh semangat muhibah sempena Hari Malaysia, di samping mengangkat martabat sukan dart sebagai salah satu aktiviti riadah yang sihat dan bermanfaat.


Mereka yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi terus pihak penganjur melalui talian Amirul Azril (010-2347452), Silverius (014-8648048) atau Velliane (014-9712116) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page