DARURAT BUKAN PILIHAN, PERPADUAN ADALAH PENYELESAIAN KRISIS
nabalunews

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan darurat bukanlah pilihan untuk dilaksanakan di Malaysia.
Katanya, perpaduan antara semua pihak adalah perkara yang amat diperlukan pada saat-saat sukar ketika ini.
“Keruntuhan ekonomi domestik dan global yang sangat teruk dan memberi kesan kepada kehidupan setiap rakyat adalah musuh sebenar.
“Saya merayu kepada semua pemimpin di negara tercinta ini, abaikan perbezaan antara kita dan bekerja sebagai satu pasukan untuk mengatasi cabaran paling besar yang kita hadapi serta mendahulukan Raja, negara dan rakyat terlebih dahulu berbanding isu-isu lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Shafie berkata, apa pun berlaku, negara perlu terus maju ke depan tanpa menjejaskan rakyat.
Menjelaskan bahawa perpaduan adalah langkah ke hadapan, Mohd. Shafie menegaskan inilah masanya perbezaan agama dan bangsa diketepikan dan semua pihak perlu berpadu untuk berdepan musuh sebenar.
“Kita mungkin tidak bersetuju dalam pelbagai perkara, tetapi waktu ini, saya yakin kita boleh bersetuju untuk satu benda – kita sayangkan negara ini.
“Semoga Allah memberikan kita kebijaksanaan dan petunjuk untuk membuat pilihan dan jalan yang tepat demi manfaat negara,” tambahnya.
Comments