Dasar baharu penggajian ekspatriat berkuat kuasa 1 Jun
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

15 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan dasar baharu penggajian ekspatriat berkuat kuasa 1 Jun, selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan memberi keutamaan kepada bakat tempatan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, dasar baharu itu akan melibatkan penstrukturan semula kadar gaji minimum serta penetapan tempoh penggajian bagi semua kategori Pas Penggajian.
“Pas Penggajian Kategori I dinaikkan daripada RM10,000 dan ke atas kepada RM20,000 dan ke atas, manakala bagi Kategori II pula, gaji dinaikkan daripada RM5,000 hingga RM9,999 kepada RM10,000 hingga RM19,999.
“Bagi Kategori III dinaikkan daripada RM3,000 hingga RM4,999 kepada RM5,000 hingga RM9,999, kecuali sektor pembuatan dan manufacturing related services (MRS) yang ditetapkan pada RM7,000 hingga RM9,999,” menurut kenyataan itu.
KDN memaklumkan, dasar penggajian ekspatriat semasa yang berpandukan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada 20 Disember 2016 telah ditambah baik melalui siri sesi libat urus bersama pihak industri dan pemegang taruh sejak 2022.
Selain penyelarasan gaji, dasar baharu tersebut turut memperkenalkan tempoh penggajian ekspatriat yang sebelum ini tiada had khusus.
“Penetapan tempoh ini bukan sahaja bertujuan meraikan ekspatriat yang mempunyai kepakaran tinggi untuk terus menyumbang kepada negara, malah berfungsi sebagai panduan kepada majikan dalam merancang pelan penggantian secara lebih tersusun dengan penglibatan tenaga kerja tempatan,” katanya.
Jelas KDN, tempoh penggajian Pas Penggajian Kategori I dan II ditetapkan kepada 10 tahun dengan pelan penggantian manakala bagi kategori III ditetapkan kepada lima tahun dengan pelan penggantian.
Selain itu, katanya semua ekspatriat yang memegang Pas Penggajian Kategori I, II dan III juga dibenarkan membawa tanggungan.
“Ke arah pelaksanaan sepenuhnya dasar ini, KDN akan menganjurkan sesi temu rapat dan libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri, majikan dan agensi berkaitan.
“Ia bagi menjelaskan mekanisme pelaksanaan, implikasi dasar serta memastikan transisi dasar ini berjalan secara teratur, telus dan tidak menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan,” katanya.
Menurut KDN, setiap pembaharuan dilaksanakan secara berperingkat dan berteraskan kepentingan negara demi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pembangunan modal insan tempatan dalam jangka panjang.


















Comments