Datuk Durjana Rogol Cucu Ditahan
- nabalunews
- Mar 7
- 1 min read

7 Mac 2025
KENINGAU: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas didakwa merogol cucu kandungnya yang berusia 10 tahun dalam kejadian di sebuah kampung di daerah ini.
Perbuatan jijik lelaki berusia 62 tahun itu terbongkar apabila mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas mengaku sakit di bahagian kemaluannya.
Lebih menyedihkan lagi apabila murid tahun empat itu mendedahkan kejadian rogol berkenaan berlaku berulang kali sejak lima tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa dibawa oleh ibu saudaranya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, mangsa menceritakan kepada doktor yang merawatnya bahawa dia telah banyak kali dirogol oleh suspek dan kejadian pertama berlaku pada tahun 2020.
“Manakala kali terakhir berlaku pada 1 Mac lalu di rumah datuknya ketika kedua-dua ibu bapanya menemani adik bongsunya di Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan pembedahan jantung.
“Mangsa memberitahun semua kejadian itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa kerana takut dipukul oleh suspek selain tidak memahami mengenai perlakuan salah itu terhadapnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Yampil berkata, mengikut laporan doktor perubatan, terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.
Susulan itu katanya, suspek berjaya ditahan polis dirumahnya pada jam 1.15 pagi, 2 Mac lalu.
Katanya, siasatan lanjut akan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Comments