DBKK arah bahan kempen dialih dalam tempoh tiga hari
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 1 min read

1 Disember 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengarahkan semua parti politik dan wakil calon menanggalkan serta mengalihkan semua bahan kempen di sekitar bandaraya dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.
Menurut notis makluman DBKK, semua bahan kempen yang dipasang atau jatuh hendaklah dibersihkan sepenuhnya, termasuk bendera, poster, gegantung, kain rentang serta struktur sokongan seperti tiang kayu, pancang, rangka kayu, besi atau PVC, kabel pengikat, tali, dawai dan pita pelekat.
“Deposit bahan kempen yang telah diserahkan sebelum ini akan ditahan mengikut sempadan setiap Dewan Undangan NegerI (DUN) sehingga DBKK mengesahkan bahawa semua bahan kempen telah ditanggalkan sepenuhnya dan kawasan terlibat berada dalam keadaan bersih.
“Tindakan ini bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan imej bandar raya terus terpelihara selepas pilihan raya,” jelas notis tersebut.
Pada masa sama, DBKK turut merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak dalam memastikan bandaraya Kota Kinabalu kekal bersih, selamat dan indah.














