Dewan Perniagaan TiongHua Tawau sambut baik komitmen kerajaan
- nabalunews
- 6 minutes ago
- 2 min read

4 Julai 2025
TAWAU: Dewan Perniagaan TiongHua Tawau (CCCT) menyambut baik maklum balas dan komitmen Menteri Pengangkutan Malaysia (MOT) terhadap pembangunan di Sabah, khususnya infrastruktur pengangkutan daerah Tawau.
Presiden CCCT, Chia Seong Fatt berkata, pihaknya yakin usaha menaiktaraf Lapangan Terbang Tawau (LTT) dan kemudahan logistik di Pelabuhan Tawau bakal memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi, pelancongan dan sektor perdagangan kawasan ini.
Katanya, beliau bersama timbalannya, Tan Boon Lian mengambil kesempatan bertemu MOT, Anthony Loke Siew Fook ketika menghadiri ACCCIM Power Chat 6.0 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) pada 26 Jun lalu.
“Kami mahu mengikuti perkembangan terkini projek naik taraf LTT dan menyuarakan isu kemudahan di Pelabuhan Tawau yang uzur dan kerap rosak, terutamanya peralatan kren sehingga menjejaskan kecekapan operasi pemunggahan barang,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Chia berkata, MOT menjelaskan bahawa projek naik taraf LTT kini memasuki peringkat semakan akhir, namun, memandangkan skop kerja yang meluas, pelaksanaannya memerlukan kerjasama serta penyelarasan daripada pelbagai jabatan dan agensi teknikal.
Ini kerana, katanya, Kerajaan juga perlu memastikan semua proses dijalankan secara sah dan telus bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau pembaziran sumber.
Chia juga berkata, Anthony turut menekankan bahawa LTT merupakan antara projek yang diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan dan sebaik sahaja semua proses yang diperlukan selesai, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan secara rasmi.
Manakala, menjawab isu di Pelabuhan Tawau pula, MOT menyatakan pengurusan terminal kargo bukan di bawah bidang kuasa langsung kementerian, namun, beliau akan mengemukakan beberapa cadangan membina untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
Mengulas lanjut, Chia menegaskan pihaknya di CCCT sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan infrastruktur pengangkutan di Tawau dan sudahpun menyuarakan keperluan tempatan kepada pihak kerajaan melalui pelbagai saluran sejak sekian lama.
Justeru, beliau menyifatkan maklumbalas daripada menteri berhubung isu yang diutarakan pihaknya mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan di Sabah, khususnya Tawau.
“CCCT akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak dalam melaksanakan inisiatif pembangunan demi mempertingkatkan lagi kemudahan pengangkutan dan ekonomi Tawau secara menyeluruh,”katanya.
Comments