top of page
Wartawan Nabalu News

DIKUARANTIN, MASALAH PdPR BUKAN PENGHALANG TIGA CALON SPM 2020 CAPAI KEPUTUSAN CEMERLANG


Gambar hiasan

11 Jun 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Disahkan positif Covid-19, dikuarantin dan masalah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak menghalang tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.


Bagi mereka cabaran hidup itu bukan batu penghalang sebaliknya dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus belajar lebih gigih memperolehi keputusan terbaik.


Mereka ialah Azrinah Umli bekas pelajar SMK Bukit Garam II Kinabatangan memperolehi keputusan 3A, 4B, bekas pelajar SMK Nabawan II Jennyvia Majikol (7A) dan Niea Suelea Peturus bekas pelajar SMK Kemabong, Tenom (8A dan 2B).


Azrinah berkata, disahkan positif Covid-19 sebulan sebelum peperiksaan SPM dan dikuarantin di pusat kuarantin, tidak menghalangnya mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan SPM 2020.


“Walaupun hanya memperolehi keputusan 3A, 4B namun saya tetap bersyukur kerana bukan mudah untuk memberi tumpuan belajar di saat-saat akhir peperiksaan dalam pusat kuarantin,” katanya ketika dihubungi Nabalu News.


Azrinah berkata, selepas mengetahui disahkan positif Covid-19, dia berasa sedih kerana ditimpa musibah disaat mereka membuat pecutan akhir SPM.


Azrinah Binti Umli mendapat keputusan 3A dan 4B dalam SPM 2020

“Guru-guru dan rakan-rakan juga terkejut kerana mereka tidak menyangka saya tiba-tiba positif Covid-19.


"Ibu bapa saya pula sangat risau dan menangis sebab pada awalnya mereka tidak percaya saya dijangkiti Covid-19,” katanya.


Menceritakan pengalamannya sepanjang berada di pusat kuarantin Azrinah berkata, beliau mencari inisiatif sendiri untuk belajar dan selalu merujuk guru-guru secara atas talian.


"Walaupun saya mengalami masalah kesihatan ketika itu, ia tidak menjadi penghalang untuk belajar. Sebenarnya sepanjang berada di pusat kurantin tersebut saya cemburu dengan rakan-rakan yang dapat belajar secara berhadapan dengan guru kerana pada waktu itu pelajar Tingkatan 5 diberikan kelas tambahan.


"Jadi bagi memotivasikan diri, saya sentiasa ingatkan diri saya yang saya pun tidak boleh berputus asa. Mana-mana subjek yang saya tertinggal saya akan cari guru kemudian bertanya kepada rakan-rakan saya apa-apa yang saya tidak faham," katanya.


Manakala bagi Jennyvia Majikol dan Niea Suella Petrus daripada keluarga B40, mereka tidak menjadikan kesusahan keluarga sebagai penghalang untuk mencapai keputusan cemerlang.


Jennyvia yang berasal dari Kampung Nakuyung pula berkata, dia sangat gembira dan terharu kerana tidak menjangka memperoleh keputusan yang begitu cemerlang.


"Saya sangat gembira kerana dapat membanggakan kedua ibu bapa saya dengan keputusan 7A ini.


Jennyvia Binti Majikol mendapat keputusan 7A dalam SPM 2020

"Keluarga sayalah yang menjadi pendorong dan motivasi kepada saya untuk terus belajar. Saya bukan dari keluarga yang senang, ayah saya hanya bekerja sebagai petani jadi merekalah yang menjadi pembakar semangat saya untuk terus berjuang,” katanya.


Bekas pelajar SMK Nabawan II itu berkata, antara cabaran yang beliau hadapi sepanjang PdPR ialah masalah line.


"Pembelajaran online begitu mencabar bagi saya sebab kadang-kadang tiada line di kampung saya. Jadi kekangan ini menyukarkan saya untuk belajar," katanya.


Jennyvia berkata, jika berlaku masalah talian internet beliau akan belajar sendiri.


“Saya juga membuat jadual waktu belajar sendiri untuk memudahkan saya mengurus masa belajar dan juga menetapkan matlamat saya belajar,” katanya.


Selain itu, Jennyvia berkata, dia juga mengurangkan masa bermain dan mengadakan pembelajaran secara berkumpulan agar terus fokus untuk belajar.


Sementara itu, Niea Suelea berkata dia terkejut dan tidak menyangka mendapat keputusan sedemikian.


"Saya sangat terkejut kerana saya selalu menghadapi masalah talian internet sepanjang PdPR. Kadang-kadang saya tidak dapat mengikuti kelas dalam Google Meet atau Zoom kerana masalah line,” katanya.


"Kalau ada masalah line, biasanya saya minta kawan yang dapat masuk kelas untuk screenshot apa yang diajar oleh cikgu dan meminta mereka ajarkan saya mana-mana yang saya tidak faham ... kalau dalam group telegram, saya akan baca perbincangan dalam group bila ada line”.


Anak kedua dari tujuh orang adik beradik itu berkata: "Saya bukan lahir dari keluarga yang senang dan banyak lagi adik-adik yang yang masih bersekolah. Jadi impian saya ialah untuk mendapat kerja yang bagus untuk menolong kedua ibu bapa saya untuk sara hidup keluarga”.

Comments


bottom of page