Dompok cadang empat langkah selesaikan masalah warga asing di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Dompok cadang empat langkah selesaikan masalah warga asing di Sabah


15 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dalam menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah, Presiden Kehormat UPKO, Tan Sri Bernard Dompok mencadangkan empat penyelesian yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri atau Persekutuan.


Beliau berkata, solusi pertama ialah menarik semula semua kad pengenalan yang dikeluarkan secara tidak sah.

“Saya mencadangkan agar mereka yang telah diberikan kad pengenalan (IC) secara haram, kita tarik balik IC haram ini, dan kita keluarkan yang baharu. Kerajaan akan putuskan apa tindakan yang akan diambil terhadap individu yang telah melanggar undang-undang negara ini.


“Mereka yang melanggar undang-undang negeri atau undang-undang peresekutan mesti dibawa ke mahkamah,” katanya semasa Forum Perdana Kebanjiran PTI di Sabah (Punca dan Penyelesaian), di Palace Hotel, semalam.


Dalam pada itu, Dompok juga berpendapat bahawa kerajaan boleh menutup sempadan negara bagi menangani kebanjiran PTI di negeri ini.


Katanya, jika kerajaan boleh menutup sempadan di seluruh negara semasa berlakunya pandemik Covid-19, perkara sedemikian juga boleh dilakukan bagi mengekang kemasukan PTI.


“Bagi saya, jika ianya boleh dilakukan semasa pandemik, saya rasa tidak mustahil untuk dilaksanakan. Kita tutup sempadan dan halang individu yang tidak mempunyai kelayakan untuk masuk ke negara ini,” jelas beliau.


Sementara itu, beliau juga berharap agar Kerajaan Persekutuan dan Negeri memastikan integriti di setiap jabatan berada di tahap yang tinggi.


“Sepatutnya perlu ada sistem penyampaian yang mampan, di mana mereka berintegriti dalam kerja mereka.


“Saya tidak mengatakan bahawa semua orang yang bekerja di Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Imigresen dan lain-lain semua bermasalah (bad apples). Masih banyak lagi orang yang baik.


“Pada pendapat saya, adalah menjadi tugas Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memastikan wujudnya integriti dalam perkhidmatan awam agar perkara yang berlaku pada masa lalu tidak lagi berlaku,” katanya.


Sementara itu, Dompok juga mencadangkan agar kerajaan mengamalkan sistem yang telus dalam pemberian taraf kewarganegaraan kepada seseorang.


Jelas beliau, pemberian kewarganegaraan itu tidak sepatutnya diberi sewenang-wenangya. Beliau mengambil contoh seperti pembantahan perkahwinan.


“Kerajaan boleh menghebahkan kepada orang awam jika ada individu yang ingin memohon kewarganegaraan di sebuah halaman khas.


“Ini akan membolehkan orang awam melihat siapakah individu tersebut yang memohon kewarganegaraan dan sekiranya rakyat ingin membantah, mereka boleh melakukanya,” katanya.

bottom of page