Penunggang Motosikal Maut Terjunam Ke Dalam Parit
- nabalunews
- Apr 30
- 1 min read

30 April 2026
PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas kenderaan ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Kobusak berhampiran Lido Plaza, di sini, awal pagi, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa bergerak dari arah Nosoob menuju ke lampu isyarat Kobusak.
Bagaimanapun katanya, setibanya di lokasi, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh ke dalam parit berhampiran selekoh sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir membantu.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik selain memandu dengan berhati-hati.
Selain itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang untuk membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133,” katanya.















Comments