- Wartawan Nabalu News
Donald mahu UPKO bangkit bantu calon PH dalam PRU15

11 September 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Donald Peter Mojuntin mahu UPKO bangkit dan membantu calon-calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, ini penting bagi memastikan calon-calon PH menang termasuk kawasan Parlimen Kota Kinabalu yang menjadi kubu kuat PH-DAP.
“Dalam beberapa tahun ini UPKO menerima tamparan hebat tetapi saya percaya pengalaman parti ini akan membawa kekuatan kepadanya dan sudah tibanya kita bangkit semula.

“Hari ini, UPKO masih wujud dengan semangat yang lebih tinggi dan parti kita lebih berpengalaman serta matang dalam menghadapi segala cabaran,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan UPKO Bahagian Kota Kinabalu, di Dewan Masyarakat Kopungit, di sini, hari ini.
Donald berkata, jika ingin berjuang secara efektif di peringkat nasional, semua anggota parti perlu mengambil langkah yang praktikal dan rasional.
“PRU15 menghampiri kita. Parti-parti ketuanan daripada Malaya yang telah memegang kuasa secara langsung atau tidak langsung selama enam dekad di Sabah, namun dalam tempoh itu Sabah masih lagi mempunyai terlalu banyak permasalahan asas, cabaran dan masih ketinggalan berbanding dengan Semenanjung dan Sarawak.

“Bagi memastikan Sabah terlepas daripada genggaman parti-parti ketuanan ini “smart partnership" dalam PH harus diperkukuhkan lagi daripada peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat kepimpinan atasan,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta semua anggota UPKO supaya mempertingkatkan perpaduan dan mengukuhkan dalaman parti bagi memastikan UPKO terus relevan.
“Marilah kita menjadikan parti kita lebih dinamik, kreatif dan lebih pantas menyesuaikan diri dalam arena politik masa kini.

“Oleh itu, saya amat berharap semua ahli menjadikan ini sebagai kepatuhan parti kepada proses demokrasi dan perlembagaan serta menghormati hak-hak setiap ahli untuk memilih pemimpin yang mereka ingin untuk meneraju parti,” katanya.
Pada majlis itu, Donald turut menerima borang keahlian baharu parti itu daripada Ketua Cawangan UPKO Kopungit Alex Sunggin.
Sementara itu, Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu yang baharu bagi sesi 2022-2025 dimenangi oleh Dennison Indang.