- Wartawan Nabalu News
Dr.Rizoh terima anugerah icon individu cemerlang SDG 2022

26 Ogos 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Presiden Kelab Kebajikan Kadamaian Dr.Rizoh Bosorang menerima Anugerah Icon Cemerlang SDG Malaysia 2022 bagi kategori individu pada majlis Anugerah Impak matlamat pembangunan mampan (SDG) dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 2022.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah pada majlis anugerah impak SDG dan ESG Malaysia, di Hotel Berjaya Square Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Dr.Rizoh berkata, anugerah itu merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang komited melaksanakan program pembangunan komuniti peringkat akar umbi dalam mencapai Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana berpeluang untuk membantu komuniti melalui badan NGO Kelab Kebajikan Kadamaian.
“Terima kasih juga kepada rakan-rakan solusi dan rakan-rakan strategi kerana kejayaan ini adalah usaha bersama sebuah pasukan,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.

Dr.Rizoh berkata, anugerah yang beliau terima adalah berkaitan dengan penilaian terhadap program pembangunan komuniti yang dilaksanakan di kg. Sayap tahun lalu, semasa pandemik Covid-19.
“Selepas projek fasa pertama selesai, iaitu program meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar melalui penambahbaikan sistem air graviti, kita kini dalam proses pelaksanaan fasa kedua dan ketiga, iaitu pembangunan sosioekonomi komuniti.

“Ia bertujuan mengoptimakan sumber bekalan air graviti yang tersedia dengan mememperkenalkan penanaman fertigasi sebagai salah satu teknologi moden dalam bidang pertanian,” katanya.
Selain itu katanya, beliau juga sedang merangka program kursus asas pemandu pelancong tahap 1 kepada komuniti Kg.Sayap.
“Kursus ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan pada masa akan datang.
“Saya turut mengalu-alukan peluang kerjasama dengan syarikat korporat, badan-badan NGO, sosial enterprise dan orang perseorangan untuk melaksanakan program pembangunan komuniti seiring dengan agenda SDG,” katanya.