Draf Pelan Pembangunan Penampang 2024-2035 dibentang di Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah
20 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Draf Pelan Pembangunan Penampang 2024-2035 dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Penampang di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, pelan tersebut mencakupi enam prinsip pembangunan iaitu ketersediaan kemudahan asas, kemakmuran sosio ekonomi, teknologi dan inovasi, kecemerlangan urus tadbir, kemampanan alam sekitar fan seni budaya dan warisan.
“Strategi pembangunan dalam pelan ini ialah pewujudan pusat perniagaan utama, penjanaan ekonomi setempat, pembangunan petempatan dan komuniti bahagia, persekitaran yang bersih dan hijau serta urus tadbir efektif dan efisien.
“Melalui pelan ini juga, cadangan-cadangan projek pembangunan turut dinyatakan. Sebagai Wakil Rakyat, saya mahu menjadikan dokumen ini sebagai input kepada penyediaan rancangan pembangunan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata potensi pembangunan Penampang harus dijayakan menjadi kawasan maju, mampan, dinamik, bahagia dan mesra alam.
“Pelan ini terhasil melalui penyelidikan dan libat urus dengan pelbagai pemegang taruh dan penduduk di kawasan Parlimen Penampang selama enam bulan yang dijalankan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah menggunakan peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen Penampang.
“Pelan ini dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa lawatan kerja beliau ke daerah Penampang pada 7 Disember 2023 ini. Saya akan mengambil langkah pro-aktif menjayakan rancangan-rancangan pembangunan dalam pelan ini,” katanya.
Mesyuarat JTPD tersebut dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Penampang Francis Chong dan turut dihadiri ADUN Kepayan Jannie Lasimbang.
Comments