• nabalunews

DUA PEGAWAI IMIGRESEN MENGAKU TIDAK BERSALAH TERIMA RASUAH


gambar hiasan

5 Feb 2021


SHAH ALAM: Dua pegawai imigresen dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan rasuah kerana melepaskan warga asing keluar dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 serta penggubahan wang haram, antara Februari 2018 hingga November tahun lepas.


Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd Faizzan Sani, 35, dan Pegawai Imigresen Muhammad Zul Anishaffizie Zakaria, 32, bersama isterinya Harlifarhani Abdul Halim, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.


Mohd Faizzan, yang bertugas di Pejabat Operasi Imigresen KLIA2 didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menerima suapan berjumlah keseluruhan RM1,000 daripada tiga individu yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga China daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.


Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Aras 1 dan 2, Bahagian Kawalan dan Keselamatan KLIA2 sekitar November 2019 hingga 10 Nov tahun lepas.


Dia didakwa mengikut Seksyen 2(a) dan Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Muhammad Zul Anishaffizie yang bertugas di Pejabat Imigresen KLIA pula didakwa atas lapan pertuduhan menerima keseluruhan wang tunai RM310,800 yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasminya daripada Puah Thiam Lai, 44; Muhsin Halim, 53, serta seorang warga Indonesia, Edi Saputra, 38, melalui akaun simpanan bank milik isterinya, Harlifarhani dan Hartini Muhsin, 51.


Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Muhammad Zul Anishaffizie juga didakwa atas lapan pertuduhan pilihan iaitu menerima wang suapan dalam jumlah sama menerusi akaun simpanan sama bagi membantu melepaskan warga China dan Indonesia keluar dari Malaysia.


Dia dituduh melakukan perbuatan itu di dua bank iaitu di KLIA dan di Bandar Baru Ampang antara 5 Feb 2018 hingga 12 Nov tahun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 2 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Muhammad Zul Anishaffizie turut didakwa atas enam pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) kerana menerima wang berjumlah RM278,700 melalui 86 transaksi daripada tiga individu sama di sebuah bank di Bandar Baru Ampang antara 10 Dis 2018 hingga 12 Nov 2020.


Harlifarhani pula dituduh atas dua pertuduhan menerima wang berjumlah keseluruhan RM32,100 daripada Puah menerusi akaun miliknya di sebuah bank di KLIA antara 5 Feb 2018 hingga 22 Mac tahun lepas.


Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan Mohd Faizzan diikat jamin RM5,000; Muhammad Zul Anishaffizie pula RM55,000 untuk kesemua pertuduhan dan Harlifarhani diikat jamin RM10,000 masing-masing dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid.


Mahkamah menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com