top of page

Dua Pengedar Dadah Ditahan

  • nabalunews
  • Jun 29
  • 2 min read

29 Jun 2025


PENAMPANG: Polis berjaya menahan dua individu yang disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan.


Hasil operasi berkenaan, polis turut berjaya merampas dadah jenis ekstasi dan syabu daripada kedua-dua individu yang dipercayai cuba dijual ke pasaran secara kecil-kecilan.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Penampang dan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Katanya, suspek pertama melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun yang ditahan pada jam 9.45 malam, Jumaat lalu, di lobi sebuah kondominium, di sini.


“Hasil pemeriksaan, polis menemui enam paket plastik yang disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi seberat 228 gram.


“Polis turut merampas kereta suspek dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM4,800,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang dari 12 sebatan.


Sementara itu, tangkapan kedua melibatkan seorang wanita berusia 35 tahun yang ditahan kira-kira jam 2 petang di sebuah kawasan perumahan di Putatan.


Sammy berkata, ketika ditahan, pasukan operasi menemui tiga paket plastik mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.22 gram.


Katanya, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tidak kurang 2 tahun dan tidak kurang dari tiga sebatan.


“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun,” katanya.


Sehubungan itu, Sammy menegaskan pihaknya akan terus komited dalam memerangi najis dadah dan meminta kerjasama orang awam agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.


“Kerjasama daripada masyarakat akan dapat membantu polis dalam membendung kes-kes dadah termasuk jenayah lain,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page