Dua ‘Scammer’ Pencari Jodoh Ditahan
- nabalunews
- May 4
- 1 min read

4 May 2025
PENAMPANG: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai menjadi dalang aktiviti penipuan atas talian yang menawarkan khidmat mencari pasangan di daerah ini, Sabtu lalu.
Kedua-dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu berjaya ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek ditahan susulan laporan polis yang diterima daripada seorang mangsa.

Katanya, mangsa mendakwa ditipu melalui satu tawaran perkhidmatan mencari pasangan dalam talian (Love Scam) sehingga mengakibatkan kerugian RM15,100.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun.
“Pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk penipuan dalam talian seperti love scam.
Selain itu katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada menjadi 'keldai akaun' iaitu individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan penjenayah untuk tujuan jenayah kewangan.
“Jangan mudah terpedaya dengan rayuan atau janji manis daripada individu tidak dikenali dan sentiasa lakukan semakan latar belakang sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” katanya.
Comments