top of page

Dua Termasuk Seorang Remaja Maut Kemalangan di Sabindo

  • nabalunews
  • 6 days ago
  • 2 min read

4 Januari 2026


PENAMPANG: Dua termasuk seorang remaja maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu - Papar, di sini, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang lelaki berusia 21 tahun maut di lokasi manakala seorang lagi remaja berusia 17 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 36 tahun bersama penumpang wanita berusia 27 tahun.

Manakala katanya, kereta malang kedua pula dipandu seorang lelaki bersama empat penumpang berusia lingkungan 17 hingga 21 tahun.


“Siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan berkenaan memasuki persimpangan lampu isyarat dan bertembung dengan kereta pacuan empat roda yang bergerak lurus.


“Akibat kejadian itu, salah seorang penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Menurutnya, seorang lagi mangsa pula dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan HQE.


Katanya, pemandu kenderaan dan dua lgi penumpang lain turut dilaporkan parah dan kini masih dirawat di HQE.


“Pemandu dan penumpang kereta pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan serius dan hanya menerima rawatan pesakit luar.


“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.


Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara berbahaya untuk keselamatan siri dan pengguna jalan raya lain.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini juga diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk membantu siasatan lanjut.


“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page