"Dulu Gimnasium, Kini Kelas Darjah" - Rayner Ebi Gesa Pembangunan Segera SMK Tamparuli
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
TAMPARULI, 7 Ogos – Naib 1 Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tuaran, Rayner Ebi, menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan supaya segera melaksanakan pembangunan semula Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli yang kini dalam keadaan daif serta mempunyai beberapa blok bangunan diisytiharkan tidak selamat untuk digunakan.
Beliau yang juga merupakan Pegawai Khas di Pusat Khidmat Parlimen Tuaran mendedahkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengklasifikasikan beberapa blok utama sekolah iaitu Blok B, Blok C, Asrama Puteri, Asrama Putera, Blok Pra-U dan Blok Bengkel RBT sebagai tidak selamat. SMK Tamparuli turut disenaraikan sebagai salah satu daripada 30 sekolah di Parlimen Tuaran yang dikategorikan sebagai sekolah Tahap 7 (sangat daif), daripada 968 sekolah di seluruh Sabah.

Situasi kritikal ini menyebabkan sekolah terpaksa beroperasi dalam dua sesi bagi menampung kapasiti pelajar yang semakin meningkat, manakala ruang kelas sedia ada dilaporkan terlalu kecil dengan pencahayaan redup serta sistem pengudaraan yang tidak memuaskan.
Menurut Rayner, pihak sekolah telah berusaha maksimum menggunakan setiap ruang yang ada, namun kapasiti fizikal sudah tertekan sehingga menjejaskan keselesaan proses pengajaran dan pembelajaran. Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap deretan bangunan kayu usang yang masih berdiri serta kemusnahan sebahagian bumbung sekolah akibat ribut kencang pada 18 September 2024 lalu.

Keadaan bertambah meruncing apabila lebih 300 pelajar dari beberapa kampung terpaksa menggunakan jambatan gantung usang sejak era 1970-an yang kini retak dan berkarat untuk ke sekolah.
Sebagai langkah jangka pendek, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyewa 16 kabin dan menempatkan 256 murid Tingkatan Enam di Pusat Kegiatan Guru (PKG) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran. Kementerian turut menyalurkan peruntukan bencana berjumlah RM190,000 bagi membaiki kerosakan bumbung.
Untuk jangka panjang, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah merancang mengemukakan permohonan pembinaan bangunan gantian dalam Rolling Plan 1 Tahun 2026 RMKe-13. Walau bagaimanapun, Rayner menegaskan bahawa perancangan tersebut tidak boleh ditangguh dan meminta agar penilaian menyeluruh serta proses kelulusan projek dipercepatkan.
Tegas beliau, isu ini bukan sekadar soal kemudahan fizikal, malah turut berkait dengan perjuangan mendapatkan hak Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Di sebalik angka itu ada sekolah yang perlu dibina, kelas yang perlu diperbaiki, jalan yang perlu dinaik taraf, dan bekalan air yang perlu dipastikan," katanya.
Rayner yang juga bekas pelajar SMK Tamparuli berkata beliau terharu apabila mendapati bilik darjah anaknya kini terletak di ruang yang dahulunya dikenali sebagai gimnasium ketika beliau bersekolah di sini pada tahun 1999.
"Saya menulis sebagai bekas pelajar yang kembali ke sekolah lamanya sebagai seorang bapa. Lebih dua dekad kemudian, anak saya kenalinya sebagai bilik darjah. Saya berharap generasi akan datang akan melihat sebuah sekolah yang lebih moden, selesa dan mampu menampung semua pelajar," ujarnya.
Beliau merayu agar pihak berkaitan segera menjalankan penilaian kapasiti dan keadaan bangunan, serta mempercepatkan projek pembinaan bangunan gantian.
"Anak-anak Tamparuli tidak meminta kemewahan, mereka hanya memerlukan ruang yang baik untuk belajar dan membina masa depan. Ini adalah pelaburan yang tidak seharusnya ditangguhkan," tegasnya.











