top of page
  • Chonnel George

Dulu penjual sayur, kini bergelar artis

26 November 2022

Oleh Chonnel George

 

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah peribahasa yang tepat digambarkan buat insan bernama Richard Antaim.


Jika dahulu memerah keringat berdagang sayur, kini mengorak langkah berjinak dalam dunia seni hiburan tanah air.


Anak kelahiran Tempasuk Dua, Kota Belud ini mula bertatih dalam bidang seni suara sejak di bangku sekolah lagi.


“Kecintaan saya terhadap seni suara mulai berputik semasa aktif menyertai kelab koir sekolah. Maka itu, saya menanamkan iltizam untuk fokus dalam bidang ini dengan lebih serius," katanya.


Anak jati Kota Belud itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2018, bukan sahaja berbakat dalam seni suara, tetapi urut berbakat dalam kepimpinan.


Artis tempatan yang mulai gemerlap menempah nama itu juga merupakan mantan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sewaktu masih berada di kampus suatu ketika dahulu.


Richard juga pernah mewakili Malaysia di ASEAN Jazz Festival pada tahun 2012. Acara gilang-gemilang itu dihoskan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, yang turut disertai Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand.

Dalam pada itu, penggiat seni yang mulai melakar nama ini juga pernah muncul di kaca televisyen yang disiarkan secara langsung di TV1, sempena majlis penutupan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) di Putra World Trade Centre (PWTC).


“Saya mahu seimbang dengan semua perkara, baik akademik mahupun penglibatan ko-kurikulum. Bagi saya, kedua-dua aspek ini sangat signifikan dalam menempuhi era modenisasi serta memenuhi kehendak pemain industri masa kini,” ujarnya.


Berbekalkan iltizam dan bakat yang besar, pada tahun 2019, Richard mengambil langkah berani menerbitkan lagu sulungnya bertajuk “Berakhir di sini” ciptaan penuh oleh Azizan Minin.


Bukan sahaja berbakat dalam nyanyian, bahkan giat mencipta lagu. Antara lagu ciptaannya ialah “Andasanku” dan “Cherry”.


Antara lagunya ialah “Ngingis Nu Di Tolumis”, “Kakal Do Mupus Dika”, “Muli Walai” dan “Oruol”.

Pada nada yang sama, Richard baru sahaja melancarkan single terbaharu iaitu “Koupusanku (Liza)” karya sentuhan Mattheus Edwin.


Dengan mempertaruhkan dendangan lagu Koupusanku (Liza), Richard akan berentap dalam Pertandingan Mencipta Lagu Dusun Online 3.0 (PLMDO 3.0), sebaris dengan nama-nama besar dalam industri muzik tempatan iaitu Benn Simon dan James Yahai band.


Berbalik pada kisah berdagang sayur, Richard menganggap semua ini adalah kenangan yang mengajarnya erti kehidupan yang ada pasang surutnya.


“Saya tidak malu menjual sayur, yang penting boleh sara hidup. Begitulah realiti kehidupan saya sebelum menjadi pensyarah. Pengalaman sebegini telah mengajar saya tentang erti kehidupan dan mematangkan diri.” Katanya.


“Kau ada degree tapi akhirnya jual sayur. Lebih baik tak perlu sambung degree kalau akhirnya kerja biasa-biasa saja.”


Demikianlah deretan kata yang kerap berdengung memeriahkan pancaindera. Namun, lemparan picisan ini tidak melumpuhkan semangatnya sama sekali, malah azamnya terus mencanak untuk terus berjaya.


Richard yang kini bekerja sebagai pensyarah di North Borneo University College merupakan ahli aktif Music Right Sabah (MRS), serta menjawat antara jawatan tertinggi bagi Sabah Composers and Music Videos Makers (SCORE).


“Jangan pernah malu dengan asal usul dan kehidupan yang lepas. Berusahalah dengan gigih, maka, kejayaan pasti menerpa di kemudian hari”, katanya dengan nada optimis.


Meskipun mulai mengukir nama di persada seni, pensyarah muzik ini tidak ralit dalam dendangan kemanisan, malahan kekal bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk.


Marilah menyokong anak tempatan ini dengan lagunya Koupusanku (Liza) di Pertandingan Mencipta Lagu Dusun Online 3.0 (PLMDO 3.0) peringkat negeri Sabah yang sedang berlangsung. Lagu ini boleh diakses pada bila-bila masa melalui Youtube.

Comments


bottom of page