DUN Sabah Ke-16 Dibubarkan Untuk PRN Ke-17
- nabalunews
- Oct 6
- 1 min read

6 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman, hari ini, untuk menasihati agar DUN dibubarkan setelah tempoh penggal lima tahun hampir tamat.
“Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun, DUN Sabah ke-16 dibubarkan berkuat kuasa pada hari ini, Isnin, 6 Oktober 2025.
“Pembubaran ini membuka laluan kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan hak demokrasi mereka dalam menentukan kerajaan baharu negeri ini,” katanya pada sidang media di Majlis Perjumpaan Bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan Sabah, di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap amalan demokrasi serta proses perlembagaan yang menjadi tunjang kepada pentadbiran negeri.
Katanya, sepanjang penggal pentadbiran lima tahun lalu, kerajaan negeri telah menumpukan usaha untuk membawa perubahan dan kemajuan melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bersifat holistik dan inklusif.
“Pelan berkenaan berasaskan tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Pembangunan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau yang menjadi panduan dalam mentransformasikan Sabah sejak September 2020.
“Kerajaan telah mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu-isu legasi seperti bekalan air, elektrik, dan infrastruktur kritikal. Tindakan konkrit telah dilaksanakan dan sebahagian besar projek utama kini sedang berjalan dengan baik,” katanya.
Menurutnya, ekonomi Sabah juga semakin kukuh dengan peningkatan pelaburan baharu yang mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, selain penambahbaikan terhadap sistem pendidikan dan kesejahteraan sosial rakyat.
“Semua kejayaan ini dicapai hasil kepercayaan, sokongan, dan semangat rakyat Sabah yang mahu melihat negeri ini terus maju,” katanya.


















Comments