top of page
nabalunews

DUN Sabah lulus RUU Pengangkatan Orang Islam 2024




22 November 2024


KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkatan Orang Islam 2024 sebagai undang-undang baharu agar pengurusan anak angkat orang Islam di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih kemas dan teratur.


Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya meluluskan RUU berkenaan selepas dibahaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya Jamil Hamzah dan mendapat sokongan majoriti semua ADUN.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ketika membentangkan RUU itu berkata, undang-undang baharu itu diwujudkan bagi mengadakan peruntukan perkara yang berhubungan dengan pengangkatan orang Islam, pendaftaran anak angkat dan perkara yang berkaitan.


Katanya, RUU berkenaan akan menghubungkan tiga badan yang bertanggungjawab dalam proses pengangkatan orang Islam di negeri ini.


Menurutnya, tiga badan berkenaan adalah Mahkamah Syariah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan AM (Jabatan Kebajikan) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah.


"Dalam konteks negeri Sabah, punca kuasa umum bagi Mahkamah Syariah dalam mendengar dan memutuskan kes-kes pengangkatan orang Islam adalah diperuntukkan di bawah subperenggan 17(3)(b)(xiii) Enakmen Mahkamah Syariah 2024, lapor Utusan Borneo.


"Punca kuasa ini adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Badan Perundangan Negeri seperti yang dinyatakan dalam Fasal (2) Perkara 74, Butiran 1, Jadual Kesembilan, Senarai Kedua Perlembagaan Persekutuan untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengan orang Islam, termasuklah pengangkatan.


"Pada masa ini, belum ada undang-undang yang digubal bagi pengendalian kes-kes berkenaan dengan pengangkatan orang Islam di Sabah. Pengendalian kes hanyalah berpandukan kepada Garis Panduan Amalan Dan Tatacara Pengambilan Anak Angkat Mahkamah Syariah 2006 yang disediakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah," katanya.


Beliau berkata, antara proses pengangkatan yang ditetapkan dalam RUU itu termasuk seseorang yang berhasrat untuk mengangkat kanak-kanak hendaklah terlebih dahulu berurusan di Jabatan Kebajikan dengan mengemukakan dokumen-dokumen dan maklumat-maklumat yang dikehendaki.


Selain itu jelasnya, pemohon juga dibenarkan untuk menjaga kanak-kanak itu dalam tempoh tiga bulan dengan pemantauan dan siasatan pihak Jabatan Kebajikan bagi memastikan sejauh mana pemohon layak untuk terus menjaga kanak-kanak berkenaan.

Comentarios


bottom of page