DUN Sabah: Sektor pembuatan negeri di landasan tepat
- nabalunews
- Apr 10
- 1 min read

10 April 2025
KOTA KINABALU: Sektor pembuatan negeri berada di landasan yang tepat dan telah berjaya menarik minat lebih banyak pelabur.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, pada tahun lalu, Sabah mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM6.5 bilion, dengan 38.7 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan.
Katanya, kerajaan negeri kekal komited bagi memastikan pelaburan terus berkembang melalui perancangan pembangunan tiga buah taman perindustrian yang baharu di Beaufort, Kudat dan Kota Belud.
"Pembangunan taman perindustrian ini dijangka akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.
Tun Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan lebih banyak bagi membangunkan aktiviti hiliran dalam industri utama, termasuk biojisim, kelapa sawit, perladangan pokok perindustrian serta minyak dan gas.
"Dengan menggalakkan pengembangan sektor ini, Sabah berpotensi menarik lebih banyak pelaburan, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan.
"Pelaburan berterusan dalam sektor ini juga akan memberi impak positif kepada sektor pembuatan, membuka peluang untuk integrasi teknologi, memperkukuh infrastruktur serta membuka peluang pekerjaan," katanya.
Comments