EAIC syor tindakan tatatertib terhadap pegawai JPN Sabah
- nabalunews
- 18 hours ago
- 2 min read

2 Julai 2025
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah berikutan kegagalan bertindak sewajarnya dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu seorang kanak-kanak.
EAIC dalam kenyataan hari ini berkata, syor terbabit dikeluarkan selepas pihaknya menjalankan siasatan berhubung aduan diterima mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku kelewatan yang tidak wajar oleh Pegawai Penyiasat JPN Sabah dalam mengendalikan kertas siasatan sehingga menjejaskan pengadu dan anak-anaknya.
“Kelewatan ini menunjukkan kegagalan melaksanakan tugasan dengan sewajarnya serta mengambil masa terlalu lama untuk memulakan siasatan dan ketidakcekapan dalam pengurusan kes.
“Tindakan ini juga adalah tidak selaras dengan Kod Etika JPN yang menetapkan komitmen tinggi, sentiasa bersedia menjalankan tugas serta bertanggungjawab dalam pekerjaan yang dilakukan dalam tempoh masa yang ditetapkan, di samping menjamin kualiti,” kata Suruhanjaya itu.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPN dengan syor hukuman tatatertib di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, susulan kesalahan kurang cekap di bawah Peraturan 4(2)(e).
Dalam pada itu, EAIC turut mengemukakan tiga syor penambahbaikan kepada JPN bagi memastikan pengendalian kes dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Antaranya JPN mengemas kini Prosedur Kerja NoDokumen PK. JPN-SK-PU-03 bertajuk Siasatan Penyelewengan Dokumen JPNM bertarikh 15 Januari 2022 dengan memasukkan ketetapan tempoh masa yang jelas dalam menjalankan siasatan.
“Selain itu, JPN juga disyorkan untuk menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan penetapan tempoh masa yang mencukupi kepada pegawai penyiasat bagi melaksanakan siasatan secara berkesan," katanya.
EAIC juga mencadangkan penubuhkan pasukan khas ‘Flying Squad’ di Ibu Pejabat JPN Putrajaya bagi mengenal pasti punca utama berlakunya kes tertunggak, termasuk kemungkinan berpunca daripada sikap pegawai atau faktor lain yang menyebabkan kegagalan mematuhi kaedah dan tatacara ditetapkan.
Comments