top of page

ECoS keluar notis larangan jual produk elektrik, gas tanpa label SIRIM

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

ree

9 Disember 2025


KOTA KINABALU: Sebanyak 10 premis sekitar Kota Kinabalu dikenakan notis larangan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Labuan (ECoS) selepas didapati menjual kelengkapan elektrik pengguna dan perkakas gas dalam senarai produk terkawal tanpa Label Keselamatan SIRIM.


Dalam satu operasi penguatkuasaan baru-baru ini, ECoS menegaskan hanya produk yang telah diuji dan diperakui selamat dengan Label Keselamatan SIRIM dibenarkan dipasarkan, selaras Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 serta Peraturan 117, Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023.


Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata pemeriksaan mendapati beberapa premis masih menawarkan kelengkapan elektrik dan perkakas gas tanpa label keselamatan tersebut, sekali gus melanggar peraturan kawal selia yang berkuat kuasa.


“Premis-premis berkenaan telah diberikan notis larangan dan diarahkan untuk menarik balik semua produk terbabit daripada jualan dalam tempoh 14 hari.


“Kegagalan mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan tindakan perundangan diambil, termasuk penyitaan barangan,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, pemilik premis yang tidak mematuhi arahan bagi kelengkapan elektrik pengguna boleh berdepan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali mengikut Peraturan 134, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024.


Jelasnya, bagi kesalahan melibatkan penjualan perkakas gas tanpa Label Keselamatan SIRIM, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan, manakala kesalahan berterusan selepas sabitan boleh dikenakan denda tambahan harian selaras dengan Subseksyen 62(1) dan (2), Enakmen Bekalan Gas 2023.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna supaya memilih produk elektrik dan perkakas gas yang mempunyai label SIRIM kerana ia menjamin produk tersebut telah diuji oleh makmal pengujian bertauliah serta memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.


“Pemilihan produk yang mematuhi piawaian dapat mengurangkan risiko berlakunya litar pintas, renjatan elektrik serta bahaya lain yang boleh mengakibatkan kecederaan, kematian, kebakaran atau kerosakan harta benda,” katanya.


Senarai penuh kelengkapan elektrik pengguna dan perkakas gas dalam senarai produk terkawal boleh dirujuk melalui laman web rasmi ECoS http://ecos.gov.my/.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page