Edbery seru pemuda UPKO ketepikan perbezaan demi perpaduan parti
- nabalunews
- 23 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KUDAT, 29 Julai – Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat, Edbery Kohiya, telah dipilih secara tanpa bertanding sebagai Naib 1 Ketua Pemuda Pusat UPKO bagi sesi 2026-2029, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kepimpinan sayap pemuda parti itu.
Beliau yang juga merupakan tokoh pemuda di bahagian Kudat menyifatkan pemilihan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat sebagai satu amalan biasa dalam sistem demokrasi, dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh perpaduan serta memperkasakan barisan kepimpinan UPKO di peringkat pusat.
Menurut Edbery, kesemua pemuda dari setiap bahagian digesa agar mengetepikan perbezaan demi memastikan proses pemilihan berlangsung secara matang, telus dan harmoni, tanpa menjejaskan semangat kesaudaraan dalam parti.
Tegasnya, pemilihan kali ini bukan sekadar memilih individu tertentu, sebaliknya ia adalah satu mekanisme penting bagi menentukan hala tuju pergerakan Pemuda UPKO untuk tempoh tiga tahun akan datang.
"Pemuda UPKO Bahagian Kudat yakin bahawa pemilihan kali ini akan melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa, berani dan berintegriti. Apa jua keputusan nanti, marilah kita terus bersatu hati dalam memperkukuhkan UPKO dan bekerja bersama demi masa depan parti," katanya.
Kemenangan tanpa bertanding Edbery sebagai Naib 1 Pemuda Pusat menunjukkan keyakinan serta sokongan padu daripada barisan pemuda seluruh bahagian terhadap kepimpinannya, sekali gus melancarkan perjalanan proses demokrasi dalam parti bagi sesi 2026-2029.
Pemilihan bagi jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Pemuda Pusat, dan Timbalan Pemuda Pusat akan dilangsungkan pada 9 Ogos ini.











