Ekonomi Sabah dijangka terus berkembang positif
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

30 Mac 2026
KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah diyakini mampu terus berkembang secara positif
meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat
konflik berpanjangan di Timur Tengah dan Eropah Timur.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keyakinan itu bersandarkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi teras utama agenda pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Dengan selesainya proses Pilihan Raya Negeri ke-17 pada akhir November tahun lalu,
Kerajaan Negeri yang saya pimpin ini bertekad untuk memperhebatkan agenda pembangunan untuk tempoh lima tahun mendatang, bersandarkan Hala Tuju SMJ 2.0
yang telah dilancarkan pada 30 Januari lalu.

“Hala tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)
yang bermula pada tahun ini sehingga 2030.
“Justeru, saya amat yakin, melalui Hala
Tuju SMJ 2.0, ekonomi negeri mampu berkembang dengan positif meskipun akan
berlaku tekanan luaran seperti kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah dan di Eropah Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih pada Istiadat Pengurniaan
Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah
sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua
Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Hajiji berkata, ekoran pergolakan tersebut, mengakibatkan bekalan minyak dunia
turut terjejas.
“Keadaan ini mencetuskan krisis tenaga di peringkat global, yang juga bakal dirasai di
negara ini. Justeru, saya mengajak seluruh rakyat untuk mengambil langkah berjimat
cermat khususnya dalam berbelanja dan penggunaan kenderaan seharian,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar lebih berhemah dalam
penggunaan air berikutan peningkatan suhu yang menunjukkan tanda-tanda
fenomena El-Nino yang berpotensi menyebabkan kemarau panjang.
“Untuk itu, elakkanlah daripada melakukan pembakaran terbuka, dan kurangkan aktiviti
luar terutama ketika suhu mencapai tahap panas yang luar biasa,” katanya.
Menyentuh prestasi ekonomi negeri, Hajiji berkata Kerajaan Negeri mula menerokai
potensi Ekonomi Biru sebagai pemacu strategik utama di bawah SMJ 2.0, berasaskan
kelebihan maritim dan biodiversiti Sabah.
“Ia merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden,
logistik dan pelancongan lestari, serta penggunaan sungai sebagai nadi ekonomi luar
bandar,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu turut melibatkan perlindungan pesisir pantai, bakau dan
terumbu karang serta pembangunan karbon biru ke arah pertumbuhan ekonomi bernilai
tambah yang lebih tinggi.
“Penerokaan Ekonomi Biru ini, terutama dalam sektor perikanan dan akuakultur,
dijangka mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program
pembangunan berjalan secara teratur, cekap dan berkesan.
“Projek-projek pembangunan, khususnya yang menjadi keutamaan, meliputi
pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan perlu
dipantau lebih rapi agar berjalan lancar dan terlaksana seperti yang dijadualkan,”
katanya.
Sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri, Hajiji turut mengajak
seluruh kepimpinan negeri termasuk penjawat awam dan sektor swasta untuk bersama-
sama memperkukuh azam dan iltizam dalam memacu kemajuan Sabah.
“Saya ingin mengajak seluruh kepimpinan negeri, untuk kita terus mencurahkan khidmat
bakti demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.















Comments