Ekosistem startup Malaysia semakin matang, MYStartup rekod 9,532 pengguna berdaftar
- nabalunews
- Oct 14, 2024
- 1 min read

14 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Ekosistem syarikat pemula di Malaysia menunjukkan perkembangan positif dengan inisiatif Tetingkap Tunggal MYStartup mencatatkan 9,532 pengguna berdaftar sejak pelancarannya pada April lalu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, menyatakan bahawa platform ini turut merekodkan lebih 197,000 pelawat, menandakan minat masyarakat terhadap syarikat pemula semakin meningkat.
“Platform ini telah mencatatkan jumlah terkumpul pelawat sebanyak 197,574 dan mempunyai 9,532 pengguna berdaftar. Jumlah yang tinggi ini membuktikan bahawa ekosistem startup negara sedang menuju ke arah yang lebih matang dan berjaya menarik minat lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mengenai perkembangan inisiatif Tetingkap Tunggal MYStartup yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak KL20.
Inisiatif ini dilengkapi dengan dana RM28 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk portal yang mengumpulkan syarikat-syarikat pemula di Malaysia.
Portal MYStartup ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan dana RM200 juta yang disediakan melalui pelbagai agensi pembiayaan dan modal teroka di bawah satu platform.
Comments