Elak Jadi Kutu Sampah
- nabalunews
- 13 minutes ago
- 1 min read

9 Jun 2025
KOTA KINABALU: Masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu disarankan supaya menghargai kemudahan yang terdapat di taman-taman awam dengan bersama bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini berkata, orang ramai disarankan supaya membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan serta tidak meninggalkan sisa sampah di merata-rata tempat.
Katanya, tanggungjawab menjaga imej kebersihan dan kelestarian Bandaraya Kota Kinabalu merupakan usaha bersama dan bukan hanya terletak pada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Musim cuti perayaan menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung di taman-taman awam, walaubagaimanapun tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir individu yang membuang dan meninggalkan sisa sampah mencemarkan imej Bandaraya Kota Kinabalu.
“Tindakan kutu sampah yang meninggalkan sampah sarap di pondok-pondok rehat sekitar Taman Awam Teluk Likas Fasa 2 telah mengotorkan persekitaran, sekali gus menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan para pengunjung lain,” katanya.
Menurutnya, DBKK menerusi Jabatan Landskap telah melaksanakan tindakan pembersihan di sekitar taman awam berkenaan bagi memastikan keselesaan pengunjung taman.
Sementara itu katanya, orang awam yang didapati membuang sampah sarap merata-rata boleh dikenakan tindakan mengikut punca kuasa Undang-undang Kecil (UUK) (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005.
“Setiap pesalah boleh dikompaun serta merta ‘Compound On The Spot’ (COS) tidak kurang dari RM30 dan tidak lebih dari RM500 mengikut jenis dan jumlah sampah yang dibuang.
“Jangan jadi kutu sampah,” tegasnya.
Comments