top of page

Kita satu persekutuan, tapi kita tuntut pelaksanaan MA63 sebagai satu blok – Ewon

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 3 min read

13 Mac 2026


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, namun kedua-dua negeri itu menuntut pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak yang termaktub di dalamnya.


Beliau berkata tuntutan itu dibuat secara bersama memandangkan Sabah dan Sarawak berkongsi banyak hak yang hampir sama seperti yang dipersetujui dalam pembentukan Malaysia.


Katanya, setiap pihak mempunyai hak untuk mentafsir atau menyuarakan pandangan yang melihat Sabah dan Sarawak sebagai “blok Borneo” dalam menuntut pelaksanaan MA63.


“Everybody has the right to express their opinion. Sebagai Presiden UPKO, saya melihat sama ada ia dipanggil wilayah Borneo, blok Borneo atau wilayah Sabah dan Sarawak, pada saya kita berkongsi hak yang hampir sama dalam Perjanjian Malaysia.


“Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada Persekutuan Malaysia. Itu adalah fakta.


“Jadi kita hanya menuntut apa yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan berunding sebagai Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina, anjuran UPKO Putatan, di perkarangan Taipakkung Putatan, di sini, semalam.


Ewon berkata, terdapat pelbagai tafsiran mengenai istilah “blok Borneo” dan dalam satu sudut ia boleh dianggap tepat memandangkan Sabah dan Sarawak berada di pulau Borneo dan dipisahkan daripada Semenanjung oleh Laut China Selatan.


Namun dalam konteks pembinaan Persekutuan, katanya, pandangan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor juga tepat kerana Sabah dan Sarawak masih berada dalam satu Persekutuan dan sebuah negara Malaysia yang perlu terus bekerjasama.


“Untuk memastikan Persekutuan Malaysia ini terus berkembang sebagai sebuah negara, maka Perjanjian Malaysia perlu ditunaikan dan hak Sabah serta Sarawak mesti dilaksanakan.


“Jadi adalah sesuatu yang natural atau semulajadi bagi pemimpin dan rakyat kedua-dua negeri ini untuk bersatu memperjuangkan hak kita,” katanya.


Beliau berkata selagi perkara yang dipersetujui dalam MA63 belum dilaksanakan sepenuhnya, perjuangan untuk menuntut pelaksanaannya akan terus diteruskan.


Ewon berkata, ketika ini kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak mempunyai beberapa platform rasmi untuk merundingkan pelaksanaan MA63, antaranya melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang bersidang setiap tahun.


Katanya, kedua-dua platform itu menjadi saluran rundingan bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan.


Beliau turut menjelaskan bahawa ketika Singapura masih berada dalam Persekutuan Malaysia, terdapat jaminan perlindungan perlembagaan kepada wilayah di luar Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak.


Ketika itu, katanya, Semenanjung Malaysia tidak mempunyai kuasa perundangan sehingga dua pertiga melalui kerusi Parlimen.


Namun jaminan tersebut terhakis selepas Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia, sedangkan jaminan itu merupakan antara sebab Sabah dan Sarawak bersetuju menubuhkan Malaysia.


“Sebab itu ada pandangan yang melihat Sabah dan Sarawak sebagai satu blok di Borneo. Kita berada di wilayah sendiri yang dipisahkan oleh Laut China Selatan. Dan kita menuntut jaminan perlindungan serta hak-hak yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.


Dalam pada itu, Ewon berkata Sabah juga mempunyai ketegasan dalam mempertahankan haknya, termasuk berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil negeri.


Beliau merujuk kepada tindakan Jabatan Peguam Negara yang mengemukakan notis penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan rundingan dimuktamadkan dalam tempoh 180 hari antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah mengenai perkara tersebut.


Katanya, kerajaan Sabah melalui Peguam Besar Sabah telah menyatakan bahawa perkara itu akan dicabar di mahkamah.


“Ertinya kita akan bertegas dengan cara kita sendiri. Sekarang ini zaman ataupun era di mana wibawa kepimpinan itu semakin memuncak di Sabah dan Sarawak. Saya peringatkan rakan-rakan di semenanjung tidak lagi boleh melihat atau memperlekehkan Sabah Sarawak seperti mana selama ini.


“Mereka mempunyai hak untuk menyatakan pandangan kepada Sabah dan Sarawak, itu hak mereka. Tetapi kita juga ada hak yang sama mengatakan kita adalah wilayah Borneo. Tanpa kita iaitu Sabah dan Sarawak tidak mungkin Malaysia ditubuhkan.


“Saya juga berani mengatakan Sabah dan Sarawak sebenarnya telah subsidize pembangunan di Semenanjung selama ini melalui hasil minyak dan gas,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page