- Wartawan Nabalu News
Empat kategori warga asing di Sabah perlu penyelesaian berbeza – Nelson

15 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Empat kategori warga asing di Sabah mempunyai masalah, cabaran dan penyelesaian berbeza, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Nelson W.Angang.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, empat kategori itu ialah Pendatang Tanpa Izin (PTI), Pelarian Perang, Kanak-Kanak Tanpa Kewarganegaraan dan individu yang mendapat kad pengenalan secara haram atau meragukan.
“Masalah ini sudah berlanjutan lebih 50 tahun di Sabah dan sehingga kini belum ada penyelesaian disebabkan banyak kekeliruan mengenainya.
“Sebab itu, kami di Pakatan Harapan (PH) Sabah berusaha memberi penerangan berkaitan isu ini. Masalah sebenar di Sabah ialah warga asing dan bukannya pendatang asing. Warga asing ialah isu keseluruhan yang kita hadapi di Sabah.

“Dalam masalah warga asing terdapat empat kategori yang amat penting untuk difahami agar dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi setiap kategori,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Forum Perdana Kebanjiran PTI di Sabah (Punca dan Penyelesaian), anjuran Pakatan Harapan di Palace Hotel, di sini, semalam.
Nelson berkata, setiap kategori warga asing di Sabah mempunyai masalah, cabaran dan penyelesaian berbeza.
“Ini sebabnya sehingga kini masalah ini belum selesai kerana kita rasakan pemimpin tertinggi peringkat persekutuan dan juga negeri tidak memahami kategori ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, undang-undang bagi kategori PTI sudah wujud di negara ini dan setiap hari ada sahaja PTI didakwa di mahkamah, dijatuhkan hukuman dan dihantar pulang ke negara asal apabila selesai menjalani hukuman.
Bagaimanapun katanya, masalah PTI masih berterusan disebabkan sempadan negara yang amat luas, berhampiran dengan negara jiran (Filipina dan Indonesia) dan senang dibolosi.
“Kenapa masih ada masalah PTI? Sebab masalah sempadan terbuka luas. Isu sempadan dan perairan negara yang amat mencabar mudah dibolosi,” katanya.
Bagi kategori kedua iaitu Pelarian Perang, Nelson menjelaskan bahawa mereka yang dikategorikan sebagai pelarian perang mempunyai dokumen IMM13 yang sah, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
“Ramai orang cakap, hantar balik apa susah, tetapi masalahnya sekiranya mereka memegang dokumen IMM13, mereka tidak boleh dihantar balik begitu sahaja, mereka bukan PTI, mereka boleh tinggal (di Sabah). Tapi masalahnya, mereka ini sudah generasi kedua dan ketiga.
“Isu dalam kategori inilah yang hangat diperkatakan dahulu semasa memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) dan sekarang Kad Digital. Mereka adalah kategori pelarian perang dan bukan PTI.
“Sekiranya pemimpin sendiri keliru dan tidak memahami apa PTI dan Pelarian Perang, tiadalah penyelesaian masalah ini,” katanya.
Nelson menjelaskan bagi kategori ketiga iaitu Tanpa Kewarganegaaan, mereka dilahirkan di Sabah tetapi tidak diketahui siapa ibu bapa dan tiada kewarganegaraan.
“Hantar pergi mana? Mana-mana negara pun tidak menerima mereka kerana mereka bukan PTI, dokumen tiada dan negara asal pun kita tidak tahu. Jadi bagaimana untuk menanganinya? Sehingga kini tiada penyelesaian,” katanya.
Katanya lagi, kategori keempat ialah mereka yang mendapat atau memperolehi kad pengenalan secara haram.
“Mereka mempunyai kad pengenalan dan sudah ada rekod di Jabatan Pendaftaran Negra (JPN)
“Dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) 2012, keluar keterangan mengatakan ada dikalangan mereka mendapat kad pengenalan secara haram masuk dalam jabatan pendaftaran, tiga pilihanraya sudah mengundi, lahir dan membesar di Filipin tetapi sudah tiga kali mengundi.
“Mereka yang berada dalam kategori ini boleh dihalau (dihantar balik ke negara asal) tetapi mereka mempunyai rekod di JPN dan dikira warganegara Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu Nelson berkata, keempat-empat kategori itu perlu difahami bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Sebab itu kita mengadakan Forum Perdana ini bagi memberi pendidikan atau kefahaman kepada masyarakat umum termasuk para pemimpin agar mereka memahami empat kategori warga asing di Sabah,” katanya.
Lima ahli panel jemputan menjayakan forum itu – Tan Sr Bernard Dompok, Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau, Tan Sri Simon Sipaun, Jannie Lasimbang dan Lim Kit Siang.