Polis Kota Belud tahan lelaki mental agresif, awam cedera
- nabalunews
- Jun 11
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 11 Jun – Polis Daerah Kota Belud menahan seorang lelaki yang disyaki mengalami gangguan mental selepas individu tersebut bertindak agresif sehingga mencederakan orang awam dan merosakkan harta benda di sekitar pekan Kota Belud, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain mengesahkan bahawa suspek ditahan pada 10 Jun 2026, lebih kurang jam 4.00 petang, bagi menjamin keselamatan awam.
Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan, seterusnya dirujuk ke Bahagian Psikiatri, Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan pemantauan.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod rawatan kesihatan mental di kedua-dua hospital berkenaan. Selain itu, beliau tidak mempunyai waris terdekat yang boleh bertanggungjawab menjaga dan memantau keadaannya.
Tindakan polis itu selaras dengan Seksyen 11, Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] yang membenarkan seseorang yang disyaki mengalami gangguan mental dan dipercayai membahayakan diri sendiri, orang lain atau harta benda, diambil dalam jagaan serta dibawa untuk pemeriksaan perubatan segera.
Polis memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam adalah keutamaan, dan pihaknya akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan masyarakat setempat berada dalam keadaan terkawal.















Comments