top of page

Empat Misi Pelaksanaan Pantas 2026 perkasa agenda reformasi perkhidmatan awam – KSN

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

15 Januari 2026


PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Khamis menggariskan empat Misi Pelaksanaan Pantas 2026 bagi meneruskan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).


Misi berkenaan merangkumi mempercepat strategi perancangan dan pelaksanaan, mempermudah urusan rakyat, memperhebat pelaksanaan ARPA, dan memperkasakan komunikasi total.


Berucap pada Majlis Amanat KSN 2026 di Putrajaya, beliau berkata, inisiatif itu selari dengan mandat kepimpinan tertinggi negara pada Pemukiman Jemaah Menteri 2026, yang menekankan pelaksanaan pantas disusuli dengan tindakan susulan (follow up) dan penguatkuasaan (follow through) secara tegas serta konsisten.


"Berpaksikan mandat inilah, tema ‘Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi’ dipilih sebagai kerangka hala tuju dan tindakan perkhidmatan awam bagi tahun 2026,” katanya.


Beliau menegaskan di bawah misi pertama, semua perancangan strategik kementerian dan jabatan, termasuk bengkel, makmal, seminar, dan penyaluran awal peruntukan, mesti diselesaikan sebelum 15 Feb 2026, dengan Kementerian Kewangan diminta memudah cara proses tersebut.


Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) Bilangan 1 wajib diadakan selewat-lewatnya 31 Januari ini, bagi memastikan pemantauan projek pembangunan dilaksanakan pada peringkat awal.


Beliau berkata, fokus juga mesti diberikan kepada usaha mempercepat projek berskala kecil, menambah baik kos pelaksanaan, meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah termasuk sekolah daif serta memberi sokongan penuh terhadap perolehan produk tempatan.


Di bawah misi kedua, Shamsul Azri menggesa agar penggunaan kemudahan dan fasiliti kerajaan, sama ada di bandar atau luar bandar, dioptimumkan bagi tujuan program yang melibatkan rakyat.


"Prinsip 'mudahkan urusan rakyat, jangan susahkan' mesti dihayati sepenuhnya. Konsep 'no wrong door' policy juga perlu diterapkan. Jika aduan bukan di bawah tanggungjawab kita, jangan terus 'tutup pintu' kepada rakyat. Bantu mereka dengan menunjukkan saluran yang betul," katanya.


Bagi misi ketiga, penekanan diberikan kepada pelaksanaan ARPA melalui Reformasi Budaya Kerja (RBK), termasuk mesyuarat lebih singkat dan fokus, penyampaian perkhidmatan mesra pelanggan, penjimatan tenaga elektrik, penggunaan kecerdasan buatan, edaran dokumen secara elektronik serta amalan hijau dalam urusan kerja.


Sementara itu, misi keempat memfokuskan kepada pengukuhan komunikasi kerajaan secara menyeluruh, dengan Unit Komunikasi Korporat (UKK) diwajibkan terlibat dalam pembangunan dasar baharu.


"Semua isu dan berita berkaitan kerajaan hendaklah dijawab dengan pantas bagi mengelakkan polemik dan persepsi negatif yang berterusan. Dunia hari ini banyak terdedah kepada permainan persepsi.


"Oleh itu, pejabat Ketua Setiausaha Kementerian dan UKK wajib menyaring ketepatan data dan fakta, kesesuaian bahasa dan lenggok, serta kewajaran masa dan ketika bagi setiap pemakluman awam. Saya mohon semua ketua jabatan mengambil perhatian serius tentang perkara ini," katanya.


Beliau turut meminta penjawat awam memperkukuh tahap literasi kewangan peribadi bagi menyokong ketenangan emosi, integriti peribadi dan keupayaan melaksanakan tugas dengan lebih fokus dan berkesan.


Dalam pada itu, Shamsul Azri mengimbau pencapaian negara pada 2025, termasuk prestasi ekonomi, pasaran buruh stabil, serta inisiatif Madani seperti Kampung Angkat Madani, Sejati Madani, Santuni Madani, Sekolah Angkat Madani, selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan ke-47.


"Sesungguhnya, kejayaan ini hasil komitmen padu seluruh jentera kerajaan, khususnya penjawat awam dan semua agensi yang bekerja tanpa mengenal penat demi memastikan setiap perincian pelaksanaan berjalan lancar dan teratur. Terima kasih saya ucapkan," kata Shamsul Azri. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page