Empat Motosikal Disita, 13 Saman Dikeluarkan
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

1 Januari 2026
KOTA BELUD: Empat motosikal berjaya disita dan 13 saman dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan di Jalan Kudat Bypass, di sini, semalam.
Operasi selama tiga jam itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dan berakhir pada jam 3 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan berhubung aktiviti samseng jalanan.

Katanya, rata-rata penunggang motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan berusia lingkungan 16 tahun hingga 23 tahun.
“Pemeriksaan berjaya mengesan pelbagai kesalahan lalulintas iaitu tiada lesen memandu, tidak memakai helmet, eksoz bising, cukai jalan tamat tempoh dan sebagainya.
“Sebanyak 13 keping saman telah dikeluarkan dan empat motosikal ditahan mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jaan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, keempat-empat motosikal berkenaan di bawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut.
“Selain mengesan pesalah lalu lintas, operasi turut berfungsi untuk menunjukkan kehadiran polis ‘Omnipresence’ dalam usaha mencegah jenayah di sekitar pentadbiran IPD Kota Belud khususnya.
“Operasi seumpama ini juga sebagai satu peringatan kepada masyarakat agar terus mematuhi undang-undang dan peraturan laluintas bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Pihak polis menasihati masyarakat agar mengutamakan keselamatan diri di jalan raya dengan slogan "Sayangi diri, keluarga dan masyarakat",” katanya.


















Comments