Empat Termasuk Penjawat Awam Positif Dadah Ditahan
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

19 Februari 2026
LAHAD DATU: Empat individu termasuk seorang penjawat awam ditahan dalam dua operasi Op Tapis yang dijalankan polis di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, serbuan operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu.
Katanya, dalam serbuan pertama yang dijalankan di kawasan belakang bangunan Econsave, Jalan Reno Fajar, di sini, pihak polis berjaya menahan lelaki warga asing berusia 22 tahun.

“Hasil pemeriksaan pada beg silang suspek telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.14 gram serta satu gulung kertas timah.
“Suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri semasa ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, serbuan kedua pula dijalankan pada jam 4.30 petang di kawasan parkir Jalan Seroja, di sini, apabila pihak polis berjaya menahan sebuah kenderaan Proton Saga dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan berkenaan menemukan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi lima paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan 0.58 gram.
“Turut dirampas empat gulung kertas timah dan satu penyedut minuman yang telah diubah suai.
“Hasil pemeriksaan, tiga individu ditahan termasuk lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penjawat awam bersama seorang lelaki, 24, dan wanita 27 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Dzulbaharin berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.
“Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan dadah manakala seorang lagi mempunyai satu rekod kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes adalah sebanyak 0.72 gram dan tangkapan kes kedua disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan seluruh warga IPD Lahad Datu dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini,” tegasnya.


















Comments