top of page

Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari

  • nabalunews
  • 31 minutes ago
  • 2 min read

19 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan.


"Selain itu, kenaikan turut melibatkan sektor pendidikan, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, serta kumpulan rekreasi, sukan dan kebudayaan.


“Kedua-dua kumpulan minuman beralkohol dan tembakau meningkat 2.5 peratus, manakala makanan dan minuman meningkat 1.5 peratus, sama seperti yang direkodkan pada Disember 2025," katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Bagaimanapun, menurut Mohd Uzir, peningkatan perlahan beberapa kumpulan termasuk insurans dan perkhidmatan kewangan sebanyak 5.5 peratus berbanding 5.6 peratus pada bulan sebelumnya, sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.


Turut meningkat perlahan ialah kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan yang merekodkan 3.0 peratus berbanding 3.1 peratus, manakala kesihatan pula mencatat 1.4 peratus, maklumat dan komunikasi (0.7 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.2 peratus).


"Sementara itu, inflasi bagi kumpulan pakaian dan kasut kekal tidak berubah berbanding tahun sebelumnya pada paras 0.1 peratus.


"Inflasi pengangkutan pula mencatatkan trend menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Januari 2026, berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya," katanya.


Menurutnya, sebanyak 62.0 peratus item (355 daripada 573) merekodkan kenaikan harga, namun daripada jumlah tersebut, 346 item iaitu 97.5 peratus mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus.


Tambah beliau, hanya sembilan item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Januari 2026, manakala baki sebanyak 173 item iaitu 30.2 peratus menunjukkan penurunan dan 45 item kekal tidak berubah.


Dari segi negeri, jelasnya, tiga negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional iaitu Johor pada kadar 2.1 peratus, diikuti Negeri Sembilan (2.0 peratus) dan Pahang (1.9 peratus).


"Baki 13 negeri lain mencatatkan peningkatan di bawah atau sama dengan kadar inflasi nasional, dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.3 peratus


"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman kecuali Kelantan (-0.3 peratus), manakala lima negeri merekodkan peningkatan melepasi paras nasional iaitu 1.5 peratus pada Januari 2026.


"Peningkatan tertinggi direkodkan Negeri Sembilan pada kadar 3.2 peratus, diikuti Pahang (2.6 peratus), Johor (2.5 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.0 peratus) dan Melaka pada kadar 1.7 peratus," katanya.


Beliau berkata, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah atau sama dengan paras inflasi nasional bagi kumpulan makanan dan minuman.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page