JPS keluar ramalan awal banjir di empat daerah Sabah
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

19 Februari 2026
KOTA KINABALU: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan ramalan awal banjir bagi empat daerah di Sabah susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menerusi hantaran di Facebook, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS memaklumkan, empat daerah terbabit adalah Sandakan, Kudat, Kota Belud serta Ranau.
Katanya, kejadian banjir berkemungkinan berlaku di kawasan-kawasan lembangan sungai khususnya di kawasan rendah dan berisiko di daerah berkenaan bermula 19 hingga 20 Februari 2026.
“Di daerah Sandakan, kawasan terlibat ialah Lembangan Sungai Sendala (Sg Sendala, Sg Gum, Sg Muhibbah), Lembangan Sungai Seguntor (Sg Seguntor, Sg Manila) dan Lembangan Sungai Segaliud (Sg Garinono, Sg Segaliud).
“Selain itu, Lembangan Sungai Semawang (Sg Memanjang, Sg Manjang, Sg Semawang), Lembangan Sungai Manila (Sg Manila), Lembangan Sungai Kolapis/Muanod (Sg Kolapis, Sg Muanod) serta Lembangan Sungai Labuk (Sg Sapi),” katanya.
Bagi daerah Kudat pula, kawasan yang berisiko ialah Lembangan Sungai Tegarangan (Sg Tegarangan, Sg Sri Aman, Sg Bak Bak, Sg Kinagazo), Lembangan Sungai Loro (Sg Bangau) dan Lembangan Sungai Indrasan (Sg Rampai, Sg Pomotodon, Sg Tinangol).
Sementara itu, di daerah Kota Belud, kawasan terlibat merangkumi Lembangan Sungai Abai (Sg Kadamaian, Sg Panataran, Sg Abai, Sg Wariu) serta Lembangan Sungai Tambilaung (Sg Tambilaung), manakala di Ranau melibatkan Lembangan Sungai Labuk (Sg Liwagu).
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh dijangkakan bergantung kepada intensiti hujan semasa.
“Sehubungan itu, penduduk di kawasan rendah dan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana banjir dari semasa ke semasa,” katanya.
Maklumat terkini berkaitan banjir boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi infobanjir di http://publicinfobanjir.water.gov.my/�.


















Comments