top of page

TAED Terus Komited Pastikan Pantai Tanjung Aru Bersih, Lestari

nabalunews
1 hour ago
2 min read

KOTA KINABALU : Tanjung Aru Eco Development Sdn. Bhd. (TAED) sentiasa komited agar kebersihan, penyelenggaraan dan pemeliharaan alam sekitar di Pantai Tanjung Aru sentiasa menjadi keutamaan.


Ketua Jabatan Undang-Undang dan Pematuhan TAED, Datuk Edmund J. Doudilim berkata, usaha ini dilaksanakan secara berterusan bukannya usaha bermusim atau sekadar dilakukan apabila terdapat penganjuran acara tertentu sahaja, sebaliknya menjadi teras operasi TAED.

"Pantai Tanjung Aru bukan sahaja sebuah destinasi pelancongan popular, malah merupakan sebahagian daripada identiti Sabah dan khazanah alam memandangkan pantai ini diiktiraf sebagai antara lokasi terbaik untuk menikmati pemandangan matahari terbenam.


"Dalam konteks ini, TAED memikul tanggungjawab penting untuk memastikan pembangunan dan pengurusan kawasan ini dilaksanakan secara terancang, mampan dan seimbang dengan mengambil kira aspek alam sekitar, kepentingan masyarakat serta kelangsungan ekonomi.


"Kebersihan Pantai Tanjung Aru berkait rapat dengan pemeliharaan ekosistem marin, keselesaan pengunjung, kesihatan awam serta imej dan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa," katanya ketika ditemui media semasa Program Borak dan Busking Bersama Pentarama anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah, pada Sabtu.


Tambah beliau, dalam pemeliharaan alam sekitar setiap pembuangan sampah yang tidak terkawal di kawasan pantai boleh memberi kesan buruk kepada hidupan laut dan kualiti persekitaran marin.


Oleh itu, Edmund menyeru agar budaya menjaga kebersihan dipupuk dalam kalangan masyarakat memandangkan usaha mengekalkan keindahan Pantai Tanjung Aru memerlukan kerjasama menyeluruh daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, komuniti, pemain industri serta pengunjung.


"Usaha ini bukanlah tanggungjawab TAED semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen kita bersama kerana kawasan yang bersih dan terurus bukan sahaja memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung malah mewujudkan rasa bangga dalam kalangan komuniti setempat.


"Kita mahu Pantai Tanjung Aru menjadi sebuah kawasan yang bukan sahaja indah untuk dilihat, tetapi bersih, selamat, terpelihara dan mempunyai nilai yang dapat dinikmati bukan sahaja oleh generasi hari ini bahkan generasi akan datang," tambahnya.


Program Borak dan Busking Bersama Pentarama merupakan inisiatif JAPEN Sabah bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan lebih santai tapi dalam masa yang sama dapat berhibur dengan persembahan dari PENTARAMA JAPEN Sabah.


Dalam program tersebut, Edmund turut memberi perkongsian maklumat kepada pengunjung yang hadir akan kepentingan menjaga keindahan Pantai Tanjung Aru.


Turut hadir, Pengarah JAPEN Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah, Mohd Zaki Harry Susanto, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sabah, Ratnawaty Talib serta Timbalan Pengarah JAPEN Sabah, Azman Sipan./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page