ENAM KLUSTER BAHARU TERMASUK EMPAT DI SABAH
- Wartawan Nabalu News
- Oct 13, 2020
- 2 min read

13 OKTOBER 2020
WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA KINABALU: Enam lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti di seluruh negara hari ini melibatkan empat kluster di Sabah, serta masing-masing satu kluster di Selangor dan Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster baharu di Sabah dikenali sebagai Kluster Semarak, Kluster Bina, Kluster Sabindo dan Kluster Bestari, manakala Kluster Bah Kenangan dan Kluster Penjara Jawi masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang.
“Kluster Semarak dikenalpasti di daerah Tawau. Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-12200 dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 3 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.
“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 13 lagi kes positif Covid-19. Sehingga hari ini (13 Oktober) sejumlah 19 individu telah disaring, di mana 14 kes positif dan lima individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media secara maya mengenai perkembangan COVID-19, hari ini.
Noor Hisham berkata, Kluster Bina pula dikenal pasti di Beaufort. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-15575) dikenal pasti positif hasil saringan kemasukan ke Hospital Sipitang pada 10 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.
“Saringan kontak rapat telah mengesan 13 lagi kes positif. Sehingga hari ini sejumlah 59 individu telah disaring, di mana14 kes dikesan positif dan 45 individu negatif,” katanya.
Beliau berkata, Klauster Sabindo pula dikenal pasti di Tawau. Kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 3 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau.
“Saringan kontak rapat telah mengesan 13 lagi kes positif COVID-19. Sehingga hari ini sejumlah 76 individu telah disaring, iaitu 14 kes positif, 51 individu negative dan selebihnya masih menunggu keputusan,” katanya.
Noor Hisham berkata, Kluster Bistari dikenal pasti di Sandakan. Kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 10 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Katanya, hasil daripada saringan kontak rapat berjaya mengenal pasti 18 lagi kes positif. Sehingga hari ini sejumlah 45 individu telah disaring iaitu 19 kes positif dan selebihnya masih menunggu keputusan.















Comments