ENAM KLUSTER BAHARU DICATATKAN DI SABAH HARI INIENAM KLUSTER BAHARU DICATATKAN DI SABAH HARI INI
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ENAM KLUSTER BAHARU DICATATKAN DI SABAH HARI INI


Gambar Hiasan

6 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan enam kluster baharu hari ini dikenali sebagai Kluster Jalan Utama Sandakan, Kluster Sawit, Kinabatangan, Kluster Murni C: Nabawan, Penampang, Kluster Tamalang, Kota Belud, Kluster Kg Gusi, Papar dan Kluster Ketiau Tembovo, Putatan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster-kluster itu berpunca dari tempat kerja, majlis penghormatan terakhir dan pengebumian.


Beliau berkata, Kluster Jalan Utama Sandakan merupakan kluster tempat kerja mencatat jumlah terkini sebanyak 15 kes, Kes indeks adalah pekerja wanita, 51, di MPI Generali Insurans Berhad (Cawangan Sandakan) yang disahkan positif RTK Anitigen di klinik swasta pada 28 Mei lalu, setelah mengalami gejala demam pada hari sebelumnya.


“Susulan kes itu, hasil saringan terhadap 78 individu mengesan 14 lagi kes positif Covid-19 yang terdiri daripada tujuh kes kontak di tempat kerja, lima kes kontak serumah dan dua kes kontak sosial.


“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan berlaku di dalam ruangan tempat kerja syarikat insurans berkenaan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata Kluster Sawit, Kinabatangan pula melibatkan penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti dan tempat kerja iaitu di Ladang Sawit Syarimo, Kinabatangan.


Katanya, kes Indeks merupakan kerani wanita, 25, yang dikesan positiF RTK-Ag melalui saringan masuk kerja di Klinik Swasta Mabello Paris 3 pada 31 Mei 2021.


“Saringan kontak kemudiannya mendapati 28 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes.


“Jumlah tersebut merangkumi 14 kes kontak di tempat kerja manakala baki 15 kes adalah jangkitan terhadap kontak tanggungan (dependant).


“Semua kes positif kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah Kinabatangan selepas dinilai di Hospital Kinabatangan,” katanya.


Masidi berkata, setakat ini, aktiviti disinfeksi diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang yang lain.


Kluster ketiga ialah Kluster Murni C: Nabawan, Penampang merupakan kluster yang tercetus berikutan majlis penghormatan terakhir dan pengebumian di Kg Murni C, Nabawan pada 20 hingga 21 Mei lalu.


Beliau berkata, kluster ini didaftarkan di Penampang apabila kluster indeks, lelaki warganegara, 33, mengalami gejala demam dan sesak nafas sejak 20 Mei lalu, disahkan positif di Klinik Kesihatan Penampang pada 22 Mei lalu.

“Pengesanan secara aktif berjaya menyaring 121 individu terdiri daripada keluarga, kontak rapat dan kontak kasual.


“Daripada jumlah tersebut, 21 kes didapati positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes, sementara 86 individu masih menunggu keputusan saringan pertama serta seorang kontak pula negatif.


“Semua kes positif Covid-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan,” katanya.


Masidi berkata, Kluster Tamalang, Kota Belud pula melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang merekodkan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 27 kes.


Beliau berkata, pada 27 Mei lalu, kes indeks, lelaki, 25, dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala di Hospital Kota Belud.


“Saringan kontak rapat kemudian mendapati 17 lagi kes positif RTK-Ag dan RT-PCR pada 27 Mei 2021 hingga 03 Jun 2021.


“Turut disahkan positif, sembilan kontak sosial kepada Jurulatih Akademi Memandu Kota Belud di Kg Tamalang Kota Belud, memandangkan kes indeks menjalani latihan dan ujian memandu di akademi terbabit mulai 23 hingga 27 Mei lalu.

“Berdasarkan maklumat awal, penularan jangkitan dipercayai ekoran aktiviti sosial komuniti di lokaliti terbabit seperti kelas mengaji Al-Quran, latihan dan ujian memandu serta aktiviti ziarah keluarga dan jiran,” katanya.


Bagaimanapun katanya, siasatan punca sebenar jangkitan dan saringan masih giat dijalankan.


Kluster kelima ialah Kluster Kg Gusi, Papar, pada hari ini merekodkan enam kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes.


Masidi berkata, kes indeks bagi kluster jenis komuniti dan keagamaan ini merupakan lelaki, 60, bersama isterinya yang mula bergejala sejak 28 Mei lalu sebelum disahkan positif di Hospital Papar.


Katanya, turut dikesan positif, 16 rakan serumah melalui saringan kontak rapat. Pada 04 Jun lalu, Pejabat Kesihatan Daerah Papar menjalankan saringan bersasar di Surau Al-Kautsar iaitu tempat kes indeks menunaikan solat maghrib dan Isyak.


“Daripada 31 jemaah yang disaring, lima daripada mereka didapati positif. Dalam perkembangan berkaitan, dua lagi kes positif dikesan masing-masing menerusi saringan bergejala di Hospital Papar dan saringan pra-rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu pada 02 Jun lalu.


“Kedua-dua individu berkenaan adalah penduduk Kg Gusi dan mempunyai sejarah menunaikan solat di Surau Al-Kautsar sejak dua minggu lalu. Kini, aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan,” katanya.


Masidi berkata, kluster keenam ialah Kluster Ketiau Tembovo, Putatan merupakan kluster jenis komuniti dan keagamaan yang merekodkan jumlah terkini sebanyak sembilan kes positif Covid-19 bagi daerah Putatan.


“Kes indeks, lelaki, 63, dilaporkan mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak dan hilang deria rasa sejak 27 Mei lalu, sebelum disahkan positif RTK-Ag di Klinik Kesihatan Putatan pada 29 Mei 2021.


“Susulan kes itu, saringan kontak pada 30 Jun lalu mendapati lapan lagi kes positif termasuk dua kes kontak serumah dan enam kes kontak rapat kepada rakan serumah kes indeks yang bekerja di kilang ayam, QL Agroventure Sdn. Bhd.


“Setakat ini, aktiviti saringan dan kawalan masih dijalankan secara aktif,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page