Enam lelaki terlibat kes merusuh di premis hiburan didakwa
11 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan terlibat kes rusuhan di sebuah premis hiburan di kawasan Jalan Haji Karim, minggu lalu.
Amriadi Sudirman, 29, dijatuhkan hukuman penjara satu bulan bermula hari ini selepas mengaku salah mendatangkan bangkitan marah kepada seorang lelaki dengan maksud bangkitan marah itu menyebabkan rusuhan berlaku.
Tertuduh membuat pengakuan salah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum terhadap kesalahan yang dilakukannya di dalam J8 Bistro di antara 3 hingga 3.30 pagi pada 5 September, lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa mengikut Seksyen 153 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh pergi ke premis hiburan tersebut pada jam 2 pagi bersama rakan-rakan untuk minum dan berhibur, dan semasa berhibur, tertuduh yang dalam keadaan mabuk merasa dirinya dilanggar.
Tertuduh terus menolak dan menendang salah seorang pelanggan berhampirannya kerana berasakan lelaki itu yang melanggarnya dan kejadian itu menyebabkan berlaku pergaduhan serta rusuhan di dalam premis sehingga ke kawasan Jalan Haji Karim.
Manakala, lima lelaki yang lain mengaku salah menjadi seorang anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang di kawasan Jalan Haji Karim di antara jam 3 hingga 3.30 pagi pada 5 September 2024, iaitu; Muhammad Azril Abdul Rashid, 25, Mohd Luqman Rabbi, 23, Mohammad Hardi Aris, 20, Muhammad Daud, 21, dan Andi Mohammad Taufiq Andi Muhdar, 25.
Muhammad Azril, Mohd Luqman, Mohammad Hardi dan Andi Mohammad dijatuhkan hukuman menjalani khidmat komuniti selama tiga bulan dengan empat jam sehari serta bon jaminan RM1,000.
Manakala Muhammad Daud didenda RM2,000 atau satu bulan penjara jika gagal bayar serta diarah rujuk ke Jabatan Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala, kesemua pertuduh diwakili peguam Jhasarry P. Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Comments