Enam Rumah di Kampung Ketiau Musnah Terbakar
- nabalunews
- 3 days ago
- 1 min read

6 Januari 2026
PUTATAN: Enam rumah dilaporkan musnah dimamah api selepas terbakar dalam kejadian di Kampung Ketiau, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan tujuh lagi rumah berhampiran daripada terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.48 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus digerakkan ke lokasi sebelum tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan enam rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran air dengan bantuan jentera bomba serta sumber air terbuka, sebelum api berjaya dikawal pada jam 6.24 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan tujuh buah rumah berhampiran daripada turut terbakar, selain sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Selain itu katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Selepas keadaan disahkan selamat, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.59 pagi,” katanya.














